Perspektif Syafiq Kyle
Sinar Harian
Februari 9, 2025 13:00 MYT
Februari 9, 2025 13:00 MYT
Syafiq tidak mahu terburu-buru dalam menerima tawaran.- Foto Sinar Harian
JIKA kebanyakan anak seni tempatan mencari peluang dan ruang untuk menembusi pasaran luar, lain pula perspektif yang dimiliki oleh pelakon berbakat besar, Syafiq Kyle.
Meskipun namanya kini semakin menjadi perhatian di negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Filipina selepas drama siri lakonannya, One Cent Thief musim pertama meledak menerusi platform over the top (OTT), Netflix baru-baru ini, namun pemilik nama penuh Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak itu tidak terburu-buru untuk menembusi pasaran Asia.
Beliau juga percaya bahawa penting untuk menaikkan nama Malaysia di persada Asia sebelum memikirkan untuk bertapak di negara-negara jiran itu.
"Saya fikir kita kena angkat industri kita dahulu sebelum kita melangkah lebih jauh.
"Kalau filem kita masuk Indonesia, karya kita tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan. Bukan kerana mereka tidak suka filem kita, tetapi kerana mereka sangat patriotik.
"Mereka sangat bangga dan menghargai karya anak bangsa mereka. Semangat itu bagus sebenarnya dan penonton Malaysia juga perlu ada semangat yang sama," jelasnya yang turut menghormati keputusan dan rezeki rakan seangkatan yang sudah melebarkan sayap ke negara jiran lain.
Syafiq berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran musim kedua siri Astro Original, One Cent Thief di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagaimana dalam masa sama, jejaka berusia 32 tahun itu meluahkan rasa syukur atas penerimaan positif terhadap karyanya di peringkat Asia, Syafiq melihat platform OTT sedikit sebanyak menjadi langkah awal dalam membuka mata industri seni antarabangsa terhadap bakat-bakat tempatan yang masih belum diketengahkan sepenuhnya.
"Saya percaya ini akan membuka mata mereka untuk melihat betapa banyaknya bakat yang ada di Malaysia yang belum dikeluarkan lagi atau yang boleh bekerjasama.
"Saya nampak sekarang ini, terutamanya di platform premium OTT, mereka akan mengambil kesempatan terhadap sesuatu negara yang mempunyai populariti atau perkara yang sedang tularuntuk bekerjasama.
"Jadi itu satu perkara yang bagus kerana membuka ruang juga kepada anak seni lain untuk bersinar di negara luar," ujar Syafiq yang percaya bahawa bukan sahaja Hollywood menjadi sasaran, malah pasaran Asia juga mempunyai potensi besar untuk bakat Malaysia.
Tarikan
Dalam perkembangan lain, anak kelahiran Kuala Lumpur itu turut berkongsi tentang pengalaman berlakon dalam siri One Cent Thief musim kedua.
Beliau mengakui tekanan tetap ada kerana musim pertama telah menerima pujian tinggi daripada penonton.
Namun, beliau yakin bahawa musim kedua lebih intens, kompleks, dan dipacu oleh watak-watak utama, termasuk dirinya sendiri.
"Musim kedua lebih kepada watak utama, jadi tekanan itu boleh dibahagikan. Saya tidak mahu menganggap ia sebagai satu tekanan besar tetapi lebih kepada tanggungjawab untuk memastikan karya ini disampaikan dengan sebaik mungkin.
"Saya rasa musim kedua ini lebih kompleks dan intens. Ada banyak aksi dan pacing yang lebih pantas, jadi saya percaya ini sesuatu yang penonton akan suka," jelasnya.
Selain itu, beliau juga berkongsi pengalaman menjalani babak aksi yang mencabar, termasuk adegan rusuhan yang memerlukan penggambaran selama dua hari.
Selain Syafiq, siri yang memulakan siaran pada 31 Januari lalu turut dibintangi Azira Shafinaz, Faizal Hussein, Fabian Loo, Sofia Jane, Trisha Ooi, Syarul Ezani dan Shashi Tharan.
Ditanya keputusannya yang sudah jarang menerima tawaran berlakon drama, Syafiq berkata, beliau menganggap semua ini sebagai satu perubahan.
"Saya bukan menggelak atau menolak tetapi berlakon ini seperti bertukar semester pengajian dan pilihan itu terletak pada kita.
"Apa yang saya buat kini adalah bergantung apa yang saya minat atau tertarik. Ada ketikanya tawaran drama datang ketika saya sibuk dengan penggambaran filem pula.
"Filem pula ikutkan setahun saya hanya buat dua filem, tetapi jika ada peluang, ada masa yang sesuai, tentu saya mahu mencuba pelbagai karya lain," katanya yang lebih meminat genre aksi.-- Sinar Harian