Persembahan harus diteruskan walaupun kaki patah
Ian Johan Ariff
Julai 6, 2015 18:06 MYT
Julai 6, 2015 18:06 MYT
Penyanyi Foo Fighters, Dave Grohl mungkin seorang bintang rock yang dihormati ramai di seluruh dunia buat masa ini.
Bukan sahaja kerana mampu membuat persembahan sejurus kakinya patah di Sweden bulan lepas tetapi turut mengadakan persembahan dengan kakinya yang patah di Washington DC, Amerika Syarikat pada 4 Julai.
Menurut Grohl, dia enggan mendapatkan rawatan di hospital sejurus doktor memberitahu pergelangan kakinya terkehel kerana mahu meneruskan persembahan.
Namun doktor tersebut perlu mendapatkan pendakap untuk dipasang pada kakinya terlebih dahulu.
Sementara menunggu pendakap tiba, doktor tersebut terpaksa memegang kakinya di atas pentas dan persembahan diteruskan.
Selepas imbasan x-ray, kecederaan sebenarnya didapati lebih teruk kerana tulang kakinya patah.
Akibatnya, Grohl terpaksa menjalani pembedahan dan Foo Fighters terpaksa membatalkan persembahan di United Kingdom dan Eropah.
Namun Grohl memberitahu dia tidak suka membatalkan konsert dan idea untuk membuat persembahan sambil duduk di atas sebuah throne adalah jalan terbaik untuk Foo Fighters teruskan jelajah konsert.
Sikap rendah diri Grohl sangat dihormati kerana ramai yang menganggap ia bukan sifat yang dimiliki seseorang yang bergelar rock star.