Persatuan Seniman bantu selesai masalah artis
Astro Awani
April 25, 2013 18:15 MYT
April 25, 2013 18:15 MYT
Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) akan mengadakan satu perjumpaan khas dengan empat orang pelakon berhubung masalah dan kontroversi terhadap artis terbabit.
Presiden Seniman, Zed Zaidi ketika dihubungi berkata, perjumpaan itu akan memfokuskan kepada masalah yang dihadapi selain mencari jalan penyelesaian terbaik buat artis-artis tersebut.
"Walaupun sekarang sedang sibuk dengan kempen Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13), tetapi masalah dan kebajikan ahli Seniman tidak boleh dipandang ringan dan kami telah pun mengaturkan pertemuan di pejabat Seniman bagi mendengar dan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka," katanya kepada mStar Online Rabu.
Empat artis berkenaan adalah pelakon Rita Rudaini, Ezany Nizariff, Man (Raja Lawak) dan Adam Corrie Lee Abdullah. Pertemuan itu akan diadakan pada Khamis (esok) di pejabat Seniman di Taman Melawati, dekat sini bermula pukul 3 petang.
Dalam pada itu, Zed berkata, masalah yang melanda Man dan Corrie adalah berhubung salah faham yang mengaitkan mereka berdua dengan sesetengah parti pembangkang sehingga menyebabkan kerjaya mereka terjejas.
Manakala kes Ezany berhubung isu dia disenaraihitamkan oleh sebuah stesen televisyen tanpa sebarang sebab munasabah.
"Bagi kes Rita pula ia bukan berkaitan dengan masalah peribadinya tetapi perkara berkaitan dengan industri juga tetapi esok pada pukul 3 petang baru saya akan bertemu dengannya," kata Zed.
Pihak Seniman katanya memberi jaminan akan menyelesaikan masalah kesemua pelakon itu dengan kadar segera.