Pernikahan Izreen Azminda dan Ude: "Hanya menumpang kasih, bukan perampas"
Gempak
Disember 2, 2017 22:27 MYT
Disember 2, 2017 22:27 MYT
PELAKON Izreen Azminda mengakui tidak pernah berhasrat untuk merampas serta meruntuhkan kebahagiaan suami dan isteri pertama, sebaliknya hanya menumpang kasih.
Katanya lagi, dia juga tidak kejam untuk berbuat demikian dan tidak akan membenarkan suami meninggalkan isteri pertama semata-mata untuk bersamanya.
Bagaimanapun katanya, dia kecewa dengan cemuhan dilemparkan netizen yang menjatuhkan hukuman tanpa mengetahui cerita sebenar.
Tambah Izreen lagi, berat baginya berdepan cemuhan masyarakat yang melabelnya sebagai perampas kebahagiaan insan lain, namun akur kenyataan itu terpaksa dihadapi apabila memilih hidup bermadu.
“Saya akur, pilihan menjadi isteri kedua menuntut pengorbanan besar. Saya sedia beralah dan bertimbang rasa kerana sedar kedudukan diri," katanya.
Sebagai wanita yang pernah melalui kekecewaan dalam kehidupan berumah tangga, Izreen juga tidak rela menghancurkan hati wanita lain namun takdir sudah tertulis apabila terpaksa berkongsi kasih seorang suami.
Spekulasi mengenai status perkahwinan anak kelahiran Kangar, Perlis itu yang bertebaran sejak minggu lalu, tamat petang kelmarin apabila Intan Liana Saleh, 32, yang juga isteri pertama suaminya, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, 29, membuat pengakuan rela hidup bermadu dengan pelakon itu.
Izreen dan Ude yang juga pemuzik bebas, melangsungkan pernikahan pada 8 Ogos lalu di Damansara, Petaling Jaya berwalikan bapanya, Mohd Aznam Mohd Noor.
Dengan sekali lafaz, bakat yang diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin TV3 pada 2013 itu sah menjadi isteri pada jam 10 pagi.
Di bawah merupakan foto ketika majlis pernikahannya berlangsung:
Sumber/Foto: BH Online