Pernah empat kali diserang strok, Sheqal sebak terima bantuan

Gempak
November 24, 2024 11:15 MYT
Shahrin Sallehudin atau lebih dikenali sebagai Sheqal, 59, gagal menahan sebak apabila menerima sumbangan RM5,000 dari Yayasan PEKEMA Prihatin pada Sabtu.
PENYANYI popular era 1980-an, Shahrin Sallehudin atau lebih dikenali sebagai Sheqal, 59, gagal menahan sebak apabila menerima sumbangan RM5,000 dari Yayasan PEKEMA Prihatin pada Sabtu.
Lebih menyentuh hati apabila penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Nusantara itu mengimbas semula zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu.
"Allah... betul janji Tuhan itu pasti. Semua itu kita akan nampak bila kita semakin tua nanti.
"Macam mana saya tak sedih. Kalau dahulu kerja saya menghiburkan orang, kerja saya juga membantu orang melalui nyanyian-nyanyian saya. Tapi hari ini saya pula dihiburkan oleh mereka," katanya.
Sheqal antara 30 orang artis yang terdiri daripada pelakon, penyanyi, pengarah dan penyampai radio yang menerima sumbangan pada majlis itu.
Majlis Sumbangsih PEKEMA Prihatin dianjurkan Yayasan PEKEMA dengan kerjasama KARYAWAN di sebuah hotel di ibu kota.
Sheqal dalam pada itu berkata, dia sudah tidak mampu bekerja sejak diserang angin ahmar tahun lalu.
"Saya juga menghidap penyakit buah pinggang, kena angin ahmar empat kali dan sebelum ini, percakapan saya tidak jelas... sekarang baru boleh bercakap.
"Saya alami semua ini selama lima tahun. Sekarang saja boleh bercakap selepas mendapat rawatan di Muar, Johor. KARYAWAN yang menghantar saya mendapatkan rawatan di sana.
"Dahulu, saya terlantar sahaja, tidak boleh berdiri. Sekarang, Alhamdulillah, semakin baik," tambahnya.
Kongsi Sheqal lagi dia kini aktif menghasilkan karya buku hasil tulisannya berjudul 'Syair Burung Dalam Sangkar.'
"Alhamdulilah saya kini sudah hasilkan tujuh buah buku dan satu telah diterbitkan.
"Dahulu saya ada bisnes. Jadi, tidaklah rasa terbeban. Sekarang, sudah tidak berniaga sejak sakit. Saya menulis untuk terus berkarya. Saya tumpahkan hasil seni dalam bentuk buku dan lukisan.
"Biasanya, saya menulis selepas solat Tahajud dan Dhuha... inilah cara saya lupakan sakit buat seketika," tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan KARYAWAN menyantuni kira-kira 30 artis yang memerlukan.
Antara yang menerima sumbangan adalah Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Jefrydin, Datuk Andre Goh, Zaiton Sameon, Shuib Freedom, Mariam Ahmad, Norlia Ghani, Ali XPDC, Isma Alif, Shima, Sazali P Ramlee, Shasha Rohaizad, Nas Ahmad, Alfred Ho, Roy dan Zul Mahat.
Turut dibantu Sathiya, Yus Barat, M Jamil, Sofia Ibrahim, Mak Wan, Dr Sam, Mak Jah, Kieran, Ebby Yus, Harun Hashim, Ruslan Salleh, Murali Abdullah dan Zaleha Hamid. - Gempak
#Sheqal #Sheqal diserang strok #Cinta Nusantara #sumbangan PEKEMA
;