Pernah benci ibunya, Aurel ikhlas berdamai dengan Kris Dayanti
Gempak
Julai 29, 2023 08:45 MYT
Julai 29, 2023 08:45 MYT
HUBUNGAN kurang baik suatu masa lalu di antara pesohor Indonesia, Kris Dayanti dengan anak perempuan hasil perkahwinan pertama bersama Anang Hermansyah iaitu Aurel bukan satu rahsia.
Namun seiring usia bertambah dan perubahan statusnya yang bakal menjadi ibu dua anak, hubungan Aurel dengan ibunya, Kris Dayanti semakin pulih dan kembali akrab.
Menurut wanita berusia 25 tahun itu, dia memang benar-benar ikhlas berdamai dengan ibunya dan tidak mahu membawa ego sehingga menyesal.
“Sekarang berjalannya usia sudah dewasa, saya sekarang jadi lebih lapang dada dan ikhlas saja," kata Aurel saat menjadi tetamu di YouTube Curhat Bang Denny Sumargo seperti yang dilaporkan Kompas.com.
Isteri Atta Halilintar itu juga menganggap masa lalu hanya bahagian dari masa lalu dan memilih untuk mengalahkan egonya.
"Ya sudah, itu kan udah bertahun-tahun lalu. Iya ada luka, cuma mahu sampai bila?
“Kalau saya terus melayan ego sudah tentu sampai sekarang pun tidak akan baik,” katanya lagi.
Tambah Aurel antara sebab yang membuatkan dirinya membuang ego dan berbaik dengan ibunya adalah kerana puteri sulungnya, Ameena.
Dia mengaku tidak mahu Ameena melihat ketegangan di antara mereka.
“Sudah ada Ameena, saya tidak mahu dia tahu nanti kasihan tapi sekarang semua hal ini (perseteruan) ada dalam internet.
“Yang penting saya tak mahu Ameena lihat dan tahu,” ujarnya lagi.
Sebelum ini Aurel diketahui membenci ibunya kerana penyanyi lagu Menghitung Hari tersebut berlaku curang lalu berkahwin dengan suaminya saat ini, Raul Lemos.
Dia juga memilih mengikut Anang sehingga komposer dan penyanyi itu berkahwin dengan Ashanty serta tidak bertegur dengan ibunya sendiri untuk satu tempoh yang agak lama. - Gempak