Permintaan Siti Nurhaliza buat Aina Abdul gementar

Asyraf Roslan
Mac 28, 2022 16:44 MYT
Persembahan penuh elegan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Aina Abdul di pentas akhir Big Stage 2022 yang berlangsung malam tadi.
PUTRAJAYA: Berkongsi pentas yang sama dengan ‘living legend’, Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah dambaan sebilangan besar penyanyi di negara ini.
Masakan tidak, sejarah dan reputasi yang direkod Siti Nurhaliza tiada tolok bandingnya.
Justeru, apabila penyanyi angkatan baharu seperti Aina Abdul ditawar menyanyi secara duet dengan Siti Nurhaliza, tiada asas untuk dia menolak undangan itu.
Sebaliknya, Aina menyifatkan, berkongsi pentas dengan buah hati kesayangan Malaysia itu saling tidak ubah seperti mimpi jadi nyata.
Kemanisan itu, tambah berganda buat Aina apabila Siti Nurhaliza turut mengalunkan lagu cipatannya di pentas akhir Big Stage 2022 yang berlangsung malam tadi.
Menurut pelantun lagu Semalam itu, dia bukan sahaja meminati figura tersebut malah mengagumi cara nyanyian dan kehebatan seniornya itu.
"Peluang untuk berada satu pentas bersama beliau sentiasa saya nantikan. Banyak kali saya kongsikan perkara ini kepada pasukan saya. Bukan sahaja minat, tapi obses. Malah mak saya pun meminati beliau.
"Untuk saya berduet bersamanya walau hanya dalam tempoh lima minit sahaja, saya bersyukur dan gembira. Beliau berikan saya aura positif. Beliau sambut saya dengan tangan terbuka," kata Aina berkongsi kebanggaan dan penghargaannya kepada Siti Nurhaliza dengan wartawan sejurus selesai Big Stage 2022 malam tadi.
Pada persembahan malam tadi, Aina dan Siti Nurhaliza masing-masing berduet lagu Purnama Merindu dan Semalam yang mendapat pujian ramai peminat kedua-dua mereka.
Bercerita lanjut, anak jati Negeri Sembilan berkata, pada awalnya, dia risau dengan reaksi yang bakal diberikan orang ramai selepas persembahannya itu kerana takut terikut-ikut dengan cara nyanyian Siti Nurhaliza.
"Jujur saya pun berusaha sebaik mungkin sebab kalau saya nyanyi lagu Datuk Seri Siti, mesti rasa nak terikut-ikut caranya.
“Sebenarnya bila dapat peluang ini, saya gembira namun sedikit tertekan pada masa sama. Sebab saya sedar, ada peminat yang begitu kritikal dalam mendengar nyanyian artis dan saya amat hargainya.
"Cuma rasa takut juga kalaulah apa yang saya bawa di bawah jangkaan mereka. Tapi apa yang saya belajar daripada Datuk Seri Siti, beliau menyanyikan lagu saya dengan caranya yang tersendiri dan saya terpanggil untuk melakukan sesuatu.
"Saya tidak tahulah bagaimana yang anda dengar, Cuma dalam tempoh singkat, itulah yang apa boleh saya persembahkan," katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Aina juga memaklumkan, Siti Nurhaliza ada bersuara meminta sebuah lagu ciptaannya untuk album terbaharu penyanyi nombor satu negara itu.
Bagi Aina, itu dalah satu peluang keemasan dan dia berikrar akan melakukan yang terbaik untuk figura kesayangan Malaysia itu.
"Ia tanggungjawab yang besar, kalau nak buat lagu untuk Datuk Seri Siti saya tak boleh bagi ala kadar.
"Saya akan buat betul-betul, Insya-Allah bulan Ramadan ini saya ada banyak masa terluang… mana tahu datang ilham saya akan cipta terus," tambahnya.
Selain menghiburkan penonton, Aina juga diundang sebagai juri jemputan Big Stage 2022 bersama Elly Mazlein.
#Aina Abdul #Datuk Seri Siti Nurhaliza #Big Stage 2022 #BBNU
;