Permainan video "Black Myth: Wukong" cerminan daya tarikan budaya China

Bernama
Ogos 27, 2024 14:15 MYT
"Black Myth: Wukong" diinspirasikan daripada watak Sun Wukong atau Monkey King dalam cerita dongeng klasik China "Hikayat Jelajah ke Barat". - Foto Game Science
BEIJING: Permainan video "Black Myth: Wukong" mendapat sambutan hangat dalam kalangan pemain seluruh dunia sejak dilancarkan pada 20 Ogos lepas.
Data berkenaan menunjukkan permainan itu mempunyai sehingga tiga juta pemain secara serentak dan jualan keseluruhannya melepasi 10 juta set setakat pukul 9 malam 23 Ogos.
"Black Myth: Wukong" diinspirasikan daripada watak Sun Wukong atau Monkey King dalam cerita dongeng klasik China "Hikayat Jelajah ke Barat".
Selain membawa pengalaman yang cukup menarik, permainan berkenaan juga menawarkan pendekatan baharu kepada pemain dari seluruh dunia untuk mendekati budaya China.
Tokoh sektor permainan video menyifatkan penghasilan "Black Myth: Wukong" sebagai cerminan perkembangan pesat industri permainan China.
Permainan berkenaan yang mendapat sambutan begitu menggalakkan turut memaparkan daya tarikan budaya negara Tembok Besar.
"Black Myth: Wukong" dikategorikan sebagai karya triple-A iaitu permainan format pemain perseorangan dengan kos tinggi, volum tinggi dan kualiti tinggi.
Sebelum ini, pasaran permainan seumpama itu didominasi oleh syarikat Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Perancis.
-- BERNAMA
#permainan video #Black Myth Wukong #budaya China #Monkey King #PlayStation