Perlu strategi tepat, karya yang betul untuk tembusi pasaran Indonesia - Erma Fatima

Madiha Abdullah
Julai 4, 2024 12:05 MYT
Erma percaya strategi yang mantap, selain karya yang betul dan berkualiti adalah kunci untuk menjayakan misi tersebut.
KUALA LUMPUR: Menembusi pasaran Indonesia bukan sahaja misi perniagaan semata-mata tetapi ia juga satu perjuangan dalam menaikkan lagi martabat industri seni kreatif.
Pengarah Erma Fatima berkata, beliau percaya strategi yang mantap, selain karya yang betul dan berkualiti adalah kunci untuk menjayakan misi tersebut.
Jelas Erma, misi itu bukanlah mustahil kerana sudah terbukti menerusi karya-karya tempatan yang melalui zaman kegemilangan di Indonesia pada era 80-an dan awal 90-an.
"Apabila seekor itik nak masuk ke dalam reban ayam, sudah tentu ayam tidak boleh ajar itik berenang. Ayam juga tidak boleh ajar itik berkokok. Sama juga itik tak boleh ajar ayam berenang. Maksudnya kita berada dalam satu kandang yang sama iaitu seni dan seni itu subjektif.
"Saya menyalahkan strategi yang kita tidak buat dengan baik. Kalau satu ketika dulu pernah ada (hasil karya yang berjaya di Indonesia) kenapa sekarang tak ada?
"Ini soal strategi, harus betul, mantap dan padu untuk masuk ke Indonesia," katanya.
Erma juga tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa karya tempatan berkualiti rendah adalah punca yang menyukarkan ia dipasarkan ke luar kerana hakikatnya, Malaysia mempunyai banyak hasil karya berkualiti sehingga mampu diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Ada orang Indonesia yang ingin menonton drama Malaysia dan mereka terpaksa cari platform tertentu untuk dapatkan drama tertentu. Kalau nak kata kita tak ada karya hebat, kita ada yang sama hebat untuk dibawa masuk ke pasaran Indoensia.
"Cuma satu ketika dahulu kita pernah bawa karya yang hebat dan kita juga menghilangkan kepercayaan mereka kepada kita dengan menghantar karya-karya yang tidak hebat.
"Sehingga hari ini mereka masih kenal siapa (Allahyarham Tan Sri) P. Ramlee, mereka masih kenal beberapa pelakon Malaysia dahulu jadi kenapa tak kita lakukan yang sama sekarang,"katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn.Bhd, Datuk Adzliana Hassan berkata, dalam perbincangan yang diadakan menerusi program ‘Bridge to Brilliance 2.0’ anjuran Usanita, dapat dilihat penggiat seni Indonesia sendiri begitu terbuka dan teruja untuk menerima kemasukan karya dari Malaysia.
"Mereka sangat menerima baik tentang kemasukan atau apa sahaja hubungan yang mahu dijalin dalam industri kreatif.
"Mereka juga tidak sabar untuk bekerjasama tapi macam Erma cakap, mungkin strategi dan cara untuk kita ke sana tak betul.
"Tak boleh sebarangan masuk ke sana, jadi apabila kita sudah memahami platform dan cara sebenarnya untuk menembusi pasaran Indonesia, kita bekerjasama, mereka sangat terbuka dan tak sabar untuk bekerjasama dengan kita," ujarnya.
#Erma Fatima #Indonesia #industri seni #filem #drama
;