Perkeso dan Profima meterai MoU, lindungi penggiat seni di bawah SKSPS

Fareez Azman
September 21, 2022 13:39 MYT
Kini penggiat seni dilindungi di bawah skim terbabit dengan bantuan kerajaan membayar insentif 80 peratus caruman terhadap golongan itu. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, kini penggiat seni dilindungi di bawah skim terbabit dengan bantuan kerajaan membayar insentif 80 peratus caruman terhadap golongan itu.
"Hari ini satu hari bersejarah termeterai perjanjian diantara Perkeso dan Profima, di sini kita mengambil satu iktibar bahawa kita juga beri perhatian golongan seniman dalam negara kita.
"Mereka juga berkeluarga, perlu hidup dan hadapi semua masalah dihadapi rakyat lain. Atas tanda prihatin, kita hari ini saya hendak ucap terima kasih Pengerusi Finas dan pimpinan Profima beri satu perlindungan kepada semua golongan artis dalam negara, wartawan dan sebagainya," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU yang disempurnakan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Presiden Profima, Mohd Khalil Saleh.
Turut hadir dalam majlis itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Seri Zurainah Musa.
Tambah Awang, ketika ini lebih 7,000 seniman termasuk kru produksi bernaung dibawah Profima di seluruh negara.
Justeru beliau berharap agar semua pihak dapat mengambil peluang terbabit bagi mendapatkan perlindungan pekerjaan mereka.
"Kita difahamkan lebih kurang 7,000 ahli Profima, saya berharap 7,000 lebih seniman, para wartawan dan artis-artis ini kita harap mereka diberi perlindungan sewajarnya.
"Apatah lagi kerajaan beri insentif sebanyak 80 peratus, hanya 20 peratus dikeluarkan individu yang mendaftar sebagai pencarum Orang Bekerja Sendiri (OBS)," katanya lagi.
SKSPS merupakan skim pembiayaan padanan caruman kepada OBS yang layak, dimana pencarum hanya perlu membayar 20 peratus atau RM46.60 daripada keseluruhan jumlah caruman Pelan 2 SKSPS iaitu sebanyak RM232.80 bagi tempoh perlindungan selama setahun.
Bayaran caruman selebihnya iaitu 80 peratus atau RM186.20 pula akan disumbangkan oleh kerajaan menerusi insentif SPS Seni yang diluluskan dalam Bajet 2022.
#perkeso #Profima #artis #kru produksi #pengiat seni #SKSPS
;