Perjalanan terakhir Pak Ngah Suhaimi

Astro Awani
September 26, 2018 10:42 MYT
Pak Ngah meninggal dunia di Batam, Indonesia sekitar jam 3.02 petang Selasa. - Gambar fail
PADA jam 3.02 petang semalam, industri muzik tanah air dikejutkan dengan berita pemergian komposer terkenal Datuk Suhaimi Mohd Zain.
Suhaimi atau mesra dengan panggilan, Pak Ngah dalam kalangan penggiat muzik tempatan dilaporkan meninggal dunia di Batam, Indonesia petang semalam.
Sehingga saat ini, punca kematian Allahyarham Pak Ngah masih belum dapat dikenal pasti.
Hari ini, penghormatan terakhir pada Allahyarham Pak Ngah akan diadakan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur sekitar jam 12.30 tengah hari ini, selepas jenazah tiba dari Indonesia.
BACA: Pejuang irama Malaysia Pak Ngah meninggal dunia
Dilahirkan pada 26 September 1958 di Kampung Baru, Allahyarham Pak Ngah merupakan anak kedua dan anak lelaki tunggal dalam keluarga dari lima beradik serta memiliki perwatakan yang kelakar dan bersahaja.
Setelah tamat peperiksaan MCE ketika itu, Pak Ngah telah ditawarkan sebagai pemuzik sepenuh masa di Kompleks Budaya Negara (KBN) sekitar tahun 1977 iaitu ketika berumur 19 tahun.
Semasa di KBN, beliau mengambil peluang untuk mempelajari seni muzik dengan lebih mendalam. Ketika inilah beliau mengambil peluang untuk menyertai pelbagai kelas muzik tradisional.
Kelas yang ditawarkan adalah antara lain kelas gamelan, kelas muzik keroncong, kelas teori muzik, kelas muzik ghazal dan sebagainya. Berpeluang untuk mempelajari muzik ghazal dan bermain gambus daripada pemain gambus terkenal Malaysia iaitu Fadhil Ahmad.
Allahyarham bertanggungjawab memartabatkan irama etnik tradisional tempatan dengan kerjasama padu beliau dengan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris.
#etnik tradisional #jenazah #komposer #meninggal dunia #Noraniza Idris #Pak Ngah #pengebumian #Siti Nurhaliza #Suhaimi Mohd Zain
;