Perit bergelandangan, komposer Ross Ariffin rindu lagu diputarkan
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 23, 2023 17:25 MYT
Oktober 23, 2023 17:25 MYT
MELAKA TENGAH: Pernah mencipta populariti dan hidup serba mewah, komposer dan penerbit terkenal, Ross Ariffin atau nama sebenarnya Roslan Ariffin, 61, mengakui rindu untuk kembali ke zaman kegemilangan itu selepas hampir empat tahun hidup sebagai gelandangan.
Berjaya menghasilkan 64 lagu buat beberapa pelantun suara besar negara seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff, Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Liza Aziz, Ross yang kini ditempatkan di Rumah Orang Tua, Bukit Larang di sini tekad untuk bangkit daripada hidup merempat.
Bapa kepada dua anak itu berkata, sisi gelap kehidupannya bermula apabila dia yang sebelum ini aktif mencipta lagu dan menjadi tenaga pengajar di sebuah akademi muzik di ibu kota hilang punca pendapatan.
Rentetan itu dia hidup sebagai gelandangan dan berpindah-randah sejak tiga tahun lalu di sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur dan juga Melaka sebelum diserang angin ahmar sebanyak dua kali dan menyebabkannya sukar untuk berjalan dan bercakap.
“Memang saya rindu (kembali aktif), tetapi mungkin agak sukar kerana saya memerlukan masa yang agak lama untuk pulih sepenuhnya sebelum kembali bermain alat muzik.
“Tetapi saya yakin walaupun usia sudah agak lanjut, saya mampu bangkit semula dan aktif mencipta lagu seperti sebelum ini yang mana sekarang ini pun saya ada perancangan mencari penyanyi baharu yang bersuara emas untuk menyanyikan semula beberapa lagu yang telah saya cipta,” katanya kepada Astro AWANI.
Ujarnya yang sudah berpisah bersama bekas isteri sejak 10 tahun lalu, secara peribadi dia tidak menyangka takdir hidupnya berubah sekelip mata.
Bagaimanapun dia bersyukur apabila sumbangannya suatu ketika dahulu masih lagi dihargai sehinggakan pernah dibenarkan menginap di hotel bajet di Jonker Walk, di sini secara percuma untuk suatu tempoh yang panjang.
“Saya mula menjadi gelandangan sebelum pandemik COVID-19 lagi di sekitar Kuala Lumpur dan Melaka dalam tempoh beberapa tahun ini sebelum ada wakil pemimpin Melaka bawa saya menetap di rumah orang tua ini.
“Dahulunya saya pernah membesar dan menetap di London serta menjadi pemain alat muzik profesional dan walaupun sudah menginjak usia senja, saya tidak mahu mensia-siakan bakat kurniaan Allah ini,” ujarnya
Sementara itu, Penasihat Rumah Orang Tua, Bukit Larang, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri terpanggil untuk membantu beliau dan menempatkan komposer itu di pusat perlindungan berkenaan yang diselia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, JKM juga telah meluluskan bantuan kewangan sebanyak RM500 setiap bulan yang mula dikreditkan semenjak September lalu.
“Bukan itu sahaja, saya juga telah menghubungi beberapa pihak berkaitan dan penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Yayasan Nur Jiwa serta Fauziah Latif turut bersetuju untuk menghulurkan sumbangan.
“Sudah pasti apabila ditempatkan di rumah orang tua ini, kita akan memastikan kebajikan Ross yang juga aset muzik tanah air ini terbela,” ujarnya.
Antara kejayaan diraih Ross adalah melalui lagu ‘Semalam Ku Tolak Ke Tepi’ nyanyian Liza Aziz memenangi ABU Golden Kite World Song Festival dan lagu ‘Ceritera Cinta’ nyanyian Jaclyn Victor menang Vokal Terbaik Juara Lagu (AJL) Ke-22 pada 2008.
#komposer terkenal
#Ross Ariffin
#gelandangan
#Siti Nurhaliza
#Jabatan Kebajikan Masyarakat
#angin ahmar