'Percayalah kebolehan anak Melayu' - Black Hanifah jawab dakwaan miliki kapal mewah hasil cuci duit

Gempak
Mei 20, 2023 12:00 MYT
Isu berkenaan kecoh di media sosial sejak awal minggu ini dan Black akhirnya tampil memberi kenyataan.
PENYANYI dan pelakon Black Hanifah memaafkan dakwaan yang menyatakan dirinya memiliki sebuah kapal mewah hasil dari ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram.
Isu berkenaan kecoh di media sosial sejak awal minggu ini dan Black akhirnya tampil memberi kenyataan.
Kata Black sepatutnya semua pihak buka mata dan percaya akan kebolehan anak Melayu.
“Dari tiga hari lepas benda ni timbul... apa yang mereka katakan dan keluarkan saya maafkan.
“Cuma tolonglah percaya dengan kebolehan anak Melayu. Banggalah lihat anak melayu yang berjaya dalam perniagaan,” katanya.
Penyanyi lagu Hanyut itu berkongsi luahan hatinya di akaun Instagram miliknya.
Menerusi hantaran berkenaan dia memuat naik satu laporan yang dimuat naik di media sosial sehingga tular.
Menurut Black lagi, semua pihak boleh nilaikan sendiri tentang isu yang tular itu.
“Selama 15 tahun saya bergelar selebriti dan apa sahaja kejayaan saya pertontonkan di Instagram,YouTube dan Facebook serta televisyen… anda boleh fikirkan sendiri," ujarnya.
Sebelum ini, penyanyi berusia 35 tahun itu telah tampil menjelaskan bahawa dakwaan tersebut hanyalah semata-mata fitnah dan menyifatkan individu atau pihak yang menyebarkan perkara tersebut iri hati terhadapnya.
Dalam pada itu, dia juga menyatakan bahawa semua kesenangan yang dimilikinya adalah hasil usaha kerasnya sendiri.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video yang mendakwa pelantun lagu Teman Pengganti itu memiliki sebuah kapal mewah di Pulau Langkawi.
Dakwaan tersebut turut mempersoalkan kemampuan Black untuk membeli aset itu sehingga tercetus spekulasi dia terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram. -Gempak
#pengubahan wang haram #Black Hanifah #kapal mewah #cuci duit
;