"Perasaan seperti nak menangis bila masuk ke Masjid Al-Aqsa" - Mawi
Gempak
Oktober 10, 2018 08:51 MYT
Oktober 10, 2018 08:51 MYT
BAGI mereka yang pernah melancong ke Palestin, pastinya teruja untuk singgah ke Masjid Al-Aqsa yang menjadi lokasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia termasuk Mawi yang berkongsi pengalaman menarik ketika berada di sana.
Bercerita lanjut kisah tersebut, penyanyi popular itu mengakui ia adalah suatu percutian yang sangat berharga dan dianggap rezeki buatnya.
Jelasnya, dia bukan hanya berpeluang masuk ke sana sebanyak dua kali tapi lebih bermakna dapat masuk Masjid Al-Aqsa asal yang terletak di bawah tanah antara dua masjid berkenaan.
"Sebelum ini ada yang tersalah anggap Dome of the Rock yang mempunyai kubah warna emas dikatakan Masjid Al-Aqsa.
"Sebenarnya, di dalam Dome of the Rock ada masjid Al-Marwan dan apabila masuk ke dalam lagi ada terowong menuju ke Masjid Al-Aqsa," katanya kepada Astro Gempak.
Ujarnya, untuk masuk ke Masjid Al-Aqsa terdapat tangga rahsia di mana turut terletak kerusi Nabi Sulaiman.
"Tapak kaki Rasulullah SAW dan batu yang dibawa naik ke langit ada dalam Dome of the Rock.
"Masa pertama kali saya ke sana cuma masuk ke Masjid Al-Marwan dan kali kedua baru dapat masuk ke Masjid Al-Aqsa yang sebenar," katanya.
Mawi mengakui perasaannya berdebar seolah mahu menangis sebaik melangkah masuk menerusi tangga rahsia ke Masjid Al-Aqsa itu.
"Saya sendiri tidak tahu kenapa saya berperasaan sedemikian. Di dalamnya ada tiang yang pernah dikaitkan dengan kisah Nabi Sulaiman dan suasananya di dalam juga cukup sejuk walaupun tiada penghawa dingin," katanya.
Akuinya, tidak semua pelancong berpeluang untuk masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa yang sebenar.
"Jalan menuju ke tangga rahsia itu sentiasa ditutup dan dikunci. Orang lain tidak tahu apa yang ada di dalamnya.
"Malah, di dalam tempat itu ada telaga yang suatu ketika dulu, dikatakan membawa minyak zaitun untuk membakar api dalam telaga itu," katanya.
CABARAN BERDEPAN PENGAWAL KESELAMATAN
Mawi yang juga penyampai radio Zayan memberitahu situasi di tiga masjid tersebut sememangnya dikawal ketat tentera Israel.
"Penting untuk jaga adab bila datang ke tempat orang. Saya juga sempat bersalam dengan tentera Israel dan mereka juga menyambut salam saya.
"Di sana pengunjung juga boleh bersolat di Masjid Buraq dan di kawasan itu terdapat batu berterapung.
"Saya anggap rezeki apabila turut berpeluang masuk ke tempat Jesus dikebumikan dan tempat orang Yahudi di Wailing Wall," katanya.
Mawi berkongsi tips untuk ke sana perlu melalui jalan darat dari Jordan.
"Di sempadan mereka tak cop pasport cuma bagi pas lawatan. Ada juga yang berpakaian jubah mahupun yang mempunyai pangkal nama Ahmad dan Muhammad disoal siasat," katanya. Teks oleh: Elrafaei Sapi