Perak sambut baik cadangan wujud galeri kenangan M. Daud Kilau di Bagan Datuk
Aida Aziz
Disember 20, 2023 19:19 MYT
Disember 20, 2023 19:19 MYT
IPOH: Perak menyambut baik cadangan untuk membina galeri kenangan, khusus buat penyanyi legenda Allahyarham Datuk M. Daud Kilau di daerah Bagan Datuk.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee bagaimanapun berkata, ia tertakluk kepada perbincangan dengan keluarga penyanyi legenda itu, selain melihat faktor tarikan buat pengunjung ke situ.
"Setakat ini kita belum ada sebarang maklumat berhubung perkara itu (wujud galeri kenangan), tetapi untuk apa-apa projek sekali pun, sekiranya kerajaan negeri lihat dapat membantu produksi atau bilangan pelancong, kita akan buat.
"Jika itu menguntungkan terutamanya kepada rakyat dan negeri, maka kita akan lihat kepada fasiliti terlebih dahulu.
"Sebenarnya tidak kira galeri siapa pun, perlukan proses rundingan tuan punya nama atau keluarganya, bukan hanya kita kerajaan negeri maka boleh suka-suka buat, kita perlu hormati pandangan mereka juga," katanya.
Beliau mengulas demikian ketika ditanya pemberita sama ada terdapat kemungkinan untuk Perak mewujudkan galeri kenangan Datuk M. Daud Kilau sebagai tarikan di Bagan Datuk.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis tandatangan memorandum persefahaman (MoU) Tourism Perak bersama Grab Malaysia, di sini pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Pengarah Strategi dan Bandar Luar, Grab Malaysia, Ben Chin.
Sementara itu, Nurmalis berkata, jika cadangan itu diterima maka akan ada agensi yang bersesuaian akan melaksanakan projek berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan, penyanyi legenda Datuk M. Daud Kilau meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak kira-kira pukul 4.40 petang, Isnin.
Penyanyi legenda yang sinonim dengan gelaran 'Raja Gelek' itu sebelum ini berdepan masalah penyakit jantung, paru-paru berair dan kebas anggota kaki dan tangan.
Terdahulu pada majlis tersebut, Grab Malaysia mengumumkan kerjasama dengan Tourism Perak sebagai rakan kongsi strategik sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Kerjasama itu meliputi tiga fokus utama iaitu rakan kongsi e-hailing eksklusif, pengalaman hidangan lima bintang dengan Grab Food dan rakan pemandu Grab sebagai duta.