Penyumbang suara latar Kung Fu Panda, Muhammad Aizat meninggal dunia
Fauzi Suhaimi
Februari 5, 2021 11:37 MYT
Februari 5, 2021 11:37 MYT
KUALA LUMPUR: Artis alih suara, Muhammad Aizat Adnan, 36, meninggal dunia di kediaman keluarganya di Puchong pada pukul 11.45 malam, semalam.
Perkara itu disahkan kakak sulungnya menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya, Dayana Adnan.
Allahyarham yang pernah menjadi suara latar bagi animasi popular Kung Fu Panda dikatakan menderita selepas disahkan menghidap ketumbuhan di peha kanan.
Ketumbuhan itu dipercayai kanser sarcoma sebelum merebak ke hati dan paru-paru.
Allahyarham juga pernah didiagnosis mengalami kanser Esofagus pada Januari 2019.
Bagaimanapun dia disahkan pulih selepas bebas daripada sel kanser berkenaan.
Allahyarham mula dikesan mengalami ketumbuhan pada bahagian peha menerusi saringan Pet Scan pada Februari tahun lalu.
Menurut isterinya, Nor Aziantie Azhar, proses kemoterapi terakhir yang dilakukan suaminya agak berbeza sehingga menyebabkan Allahyarham hilang suara, nafas pendek dan berkahak.
"Selain itu, air di betis, kahak keluar tanpa henti, cirit birit, badan menjadi lebih lemah dan hanya mampu terbaring," katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya.