Penyiar legenda RTM Constance Haslam meninggal dunia

Astro Awani
Oktober 3, 2022 15:30 MYT
Juruhebah radio legenda, Constance Haslam Behr dilaporkan meninggal dunia di Versailles, Perancis, hari ini pada usia 70-an. - Gambar media sosial
KUALA LUMPUR: Juruhebah radio legenda, Constance Haslam Behr dilaporkan meninggal dunia di Versailles, Perancis, hari ini.
Constance Haslam yang dikenali sebagai Connie menghembuskan nafas terakhir di usia 70 an merupakan seorang juruhebah bersuara emas selepas berkhidmat selama 26 tahun dalam dunia penyampaian radio.
Mendiang merupakan penyiar yang disegani sepanjang berkhidmat dengan stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Dalam pada itu, para peminat, rakan sekerja dan sahabat berkongsi pengalaman bersahabat dengan mendiang Connie menerusi media sosial selepas menerima berita pemergiannya.
“Hari yang suram selepas menerima khabar pemergian sahabat lama, rakan sekerja dan bekas juruhebah radio, Connie Haslam yang telah pergi buat selamanya,” tulis Patrick Teoh yang mengumumkan berita kematian sahabatnya di laman Facebooknya, sebentar tadi.
Dalam masa sama, James Loke turut menulis kesedihan selepas pemergian sahabatnya itu.
"Semua pendengar setia Radio 4 dari era 70 an, dukacita memaklumkan bahawa Constance Haslam Behr (Constance Haslam), meninggal dunia semalam secara tiba-tiba dan berita sedih ini disampaikan oleh Munira Murad. Mari berdoa untuk mendiang dan saya sangat sedih mendengar berita ini,” tulisnya.
Sebagai hos televisyen dan juruhebah radio, Connie juga pernah mewanwancara ramai artis antarabangsa termasuk Gloria Estefan, Hammer, Dionne Warwick, dan Bee Gees.
Connie menamatkan perkhidmatan di RTM pada 1990 dan menyertai Rediffusion Radio selama dua tahun di Jabatan Perhubungan Awam.
Dalam satu temubual bersama penulis blog Kak Teh pada Julai 2010, Connie kini menetap di Perancis bersama suaminya Erwin Behr sejak tahun 2000.
#Constance Haslam Behr #meninggal dunia #juruhebah #Constance Haslam meninggal dunia'
;