Penyedia kandungan Malaysia raih urus niaga RM156j

Bernama
Oktober 8, 2013 19:07 MYT
Penyedia kandungan Malaysia berjaya meraih 13 urus niaga bernilai US$$50 juta (RM156 juta) pada MIPCOM 2013, pasaran terbesar dunia bagi kandungan pelbagai platform, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata urus niaga berkenaan, yang termasuk penjualan pelbagai produk industri kreatif dan perjanjian usaha sama serta pengeluaran bersama, menjadi bukti penerimaan dunia terhadap kandungan dan bakat rakyat Malaysia.
"Urus niaga ini membuktikan komitmen Malaysia dalam membangunkan kandungan kreatif bertaraf dunia," kata beliau ketika merasmikan majlis makan malam jaringan Malaysia yang dihadiri kira-kira 300 tetamu di sebuah hotel di sini pada malam Isnin.
Turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Penerangan Singapura Ibrahim Yaakub, pasukan pengurusan tertinggi Reed Midem yang merupakan penganjur MIPCOM, ketua-ketua industri kandungan dan kreatif serta pembeli dan penjual dari 60 syarikat Malaysia yang mengambil bahagian.
Ahmad Shabery berkata industri kandungan kreatif Malaysia telah berkembang dan mencatatkan kira-kira US$4 bilion (RM13 bilion) dalam perolehan tahun lepas.
Pada tahun ini, industri telah menyaksikan peningkatan beberapa judul menarik, kata beliau dengan memberi contoh filem cetera 'Vikingdom : The Blood Eclipse' oleh KRU Studios yang akan disiarkan di lebih 10 negara.
Satu lagi contoh yang beliau sebutkan ialah penyanyi Malaysia, Yuna, yang muncul dalam salah satu permainan video paling popular 'Grand Theft Auto 5' dan yang albumnya, 'Live Your Life', menyaksikan jualan 15 juta salinan pada minggu pertama diedarkan.
Beliau juga berbangga pada MIPCOM tahun ini, sebanyak 12 terbitan kreatif telah ditayangkan termasuk 'Boboi Boy', 'Origanimals', 'Super Squad', ' Rimba Racer ' dan 'Chuck Chicken'.
"Beberapa syarikat dan agensi Malaysia juga telah menerima pelbagai anugerah antarabangsa berprestij termasuk Media Prima, ASTRO dan FINAS," kata beliau yang disambut dengan tepukan gemuruh daripada para tetamu.
Ahmad Shabery berkata kerajaan Malaysia menyokong secara aktif industri kandungan kreatif dengan melabur secara langsung untuk membina ekosistem yang lebih kondusif untuk pengiat media tempatan dan antarabangsa melabur dan menghasilkan kandungan di rantau ini.
Salah satu usaha kerajaan ialah Pinewood Iskandar Malaysia Studios (PIMS), kemudahan penerbitan terkini yang disokong oleh syarikat terkenal, Pinewood Group untuk memudahkan penerbitan bertaraf dunia di Malaysia.
"Kami bangga untuk menyatakan bahawa kemudahan ini merupakan satu-satunya seumpamanya di rantau Asia Pasifik," kata beliau sambil menambah bahawa kerajaan juga baru-baru ini memperkenalkan Insentif Filem di Malaysia (FIMI), yang merupakan rebat tunai 30 peratus untuk penerbitan filem, program TV dan skrin.
Selain daripada itu, beliau berkata lebih 70 skim pembiayaan dan insentif diperkenalkan untuk sektor kreatif, merangkumi semua bidang kandungan kreatif.
"Kerajaan Malaysia akan mengutamakan inovasi, kreativiti dan keusahawanan dalam industri filem dan multimedia untuk menggunakannya sebagai enjin pertumbuhan.
Para tetamu di majlis itu juga disajikan dengan persembahan video dan dihiburkan oleh artis-artis Malaysia seperti Jaclyn Victor dan Sean Ghazi.
#2013 #Ahmad Shabery Cheek #Cannes #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #mipcom
;