Penyanyi wanita 'tapau' pencalonan Anugerah Grammy 2024

Fahmi Izuddin
November 12, 2023 10:45 MYT
Penyanyi wanita mendominasi pencalonan Anugerah Grammy 2024 apabila SZA, Victoria Monét, Taylor Swift, Olivia Rodrigo dan Phoebe Bridgers mendahului senarai dalam setiap kategori utama.
PENYANYI wanita mendominasi pencalonan Anugerah Grammy 2024 apabila SZA, Victoria Monét, Taylor Swift, Olivia Rodrigo dan Phoebe Bridgers mendahului senarai dalam setiap kategori utama.
Penyanyi Neo Soul dan R&B popular, SZA menepati ramalan apabila memperoleh pencalonan terbanyak dengan sembilan pencalonan menerusi album studio 'pecah carta' keduanya, SOS.
Malah, pencalonan SZA juga melangkaui genre R&B apabila turut dicalonkan dalam kategori Persembahan Pop Terbaik dan Persembahan Melodi Rap Terbaik.
SZA setakat ini hanya memenangi satu trofi Grammy daripada 14 pencalonan sebelum ini.
Beliau turut mencuri tumpuan apabila tercalon dalam kategori Triple Crown iaitu Rekod Terbaik dan Lagu Terbaik (Kill Bill) serta Album Terbaik (SOS).
Sementara itu, komposer dan penulis genre R&B, Victoria Monét mencipta sejarah tersendiri apabila album debut sebagai penyanyi berjaya meraih tujuh pencalonan termasuk kategori utama, Artis Baru Terbaik.
Album Monét, Jaguar II juga meraih kejayaan apabila anak perempuan Monét, Hazel menjadi calon Anugerah Grammy termuda dalam sejarah (dua tahun), selepas dikreditkan dalam lagu ibunya Hollywood bersama kumpulan Afro-Pop legenda, Earth Wind & Fire.
Selain itu, bintang Pop sensasi, Taylor Swift memperoleh enam pencalonan untuk anugerah dan tujuh pencalonan secara keseluruhan sebagai penulis lagu menerusi lagu Anti-Hero, sekali gus mengatasi rekod yang dipegang oleh Paul McCartney dan Lionel Richie yang masing-masing mempunyai enam pencalonan sebagai penulis lagu.
Swift juga tercalon dalam kategori Album Terbaik untuk Midnights dan menyamakan kedudukannya dengan Barbra Streisand untuk pencalonan terbanyak bagi artis wanita dalam kategori Album terbaik.
Jika Midnights memenangi Album Terbaik, Swift bakal menjadi artis pertama yang memenangi anugerah itu sebanyak empat kali.
Selain itu, album runut bunyi filem Barbie juga berjaya menembusi 12 pencalonan rentas genre dan kategori menerusi Billie Eilish, Nicki Minaj, Ice Spice dan Dua Lipa.
Anugerah Grammy ke-66 bakal berlangsung di Los Angeles pada 4 Februari 2024 dan disiarkan secara langsung menerusi Rangkaian Televisyen CBS.
Bagaimanapun, hos untuk edisi kali ini masih menjadi misteri dan belum diumumkan secara rasmi oleh pihak Akademi Rakaman.
Untuk melihat senarai penuh pencalonan Anugerah Grammy 2024 boleh klik ke pautan grammy.com
#Anugerah Grammy 2024 #Taylor Swift #album Midnights #album terbaik
;