Penyanyi Tommy Page meninggal dunia

Madiha Abdullah
Mac 5, 2017 11:17 MYT
Page memiliki profil karier yang cukup hebat apabila membantu memulakan kerjaya ramai artis ternama, antaranya Alanis Morissete, Michael Buble dan Green Day.
PENYANYI dan ahli perniagaan terkenal, Tommy Page, ditemui mati di kediamannya pada Jumaat.
Laporan portal hiburan antarabangsa menyebut Page, 46 tahun, dikatakan membunuh diri.
Pihak berkuasa bagaimanapun masih meneruskan siasatan untuk mengetahui dengan lebih tepat punca kematian.
Bintang pop yang cukup dikenali dengan lagu I'll Be Your Everything itu memulakan kerjaya dalam bidang seni pada tahun 1990, dan memiliki sembilan buah album.
Bukan sahaja menyanyi, sebaliknya Page memiliki profil karier yang cukup hebat apabila membantu memulakan kerjaya ramai artis ternama, antaranya Alanis Morissete, Michael Buble dan Green Day.
Graduan New York University itu juga merupakan Naib Presiden Usahasama Muzik untuk rancangan realiti The Voice, selain merupakan salah seorang peneraju di Pandora, sebuah stesen radio atas talian.
Page juga merupakan penerbit majalah hiburan terkemuka, Billboard.
Untuk rekod, Page pernah merakamkan duet bersama artis Malaysia, Amy Mastura, dalam lagu The Best Part, pada tahun 1996.
Page meninggalkan pasangan dan tiga orang anak.
#artis #billboard #muzik #penyanyi #The Voice #Tommy Page
;