Penyanyi terkenal Aman Shah meninggal dunia
Astro Awani
September 14, 2022 14:48 MYT
September 14, 2022 14:48 MYT
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal era 1980-an, Aman Shah meninggal dunia akibat serangan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 2.15 petang tadi.
Berita duka itu disahkan oleh anak sulung Allahyarham, Hadzly kepada Astro AWANI sebentar tadi.
Menurut Hadzly, 43, Allahyarham bapanya dimasukkan ke IJN sejak seminggu lalu.
Kata Hadzly, buat masa ini, jenazah bapanya masih berada di IJN dan akan dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras pada pukul 6 petang ini sebaik selesai dimandi dan dikafankan.
Hadzly berkata, mana-mana kenalan atau ahli keluarga yang berhasrat untuk memberi penghormatan kepada Allahyarham bapanya boleh melakukannya di masjid berkenaan.
"Insya-Allah jika tiada aral jenazah ayah saya akan dikebumikan sebelum solat Maghrib," kata Hadzly.
Aman Shah yang berusia 68 tahun pernah menempah kemasyhuran menerusi lagu Kepulangan Yang Dinanti yang sering dimainkan setiap kali sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan lagu Adikku Pandai Menari.
Dilahirkan di Johor Bahru pada 1954, ketika bergelar penyanyi, Allahyarham Aman Shah pernah bernaung di bawah syarikat rakaman EMI antara 1980 hingga 1987.
Allahyarham juga pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Darah Satria.