Penyanyi rap Tory Lanez didapati bersalah tembak Megan Thee Stallion
Faida Rahim
Disember 24, 2022 12:31 MYT
Disember 24, 2022 12:31 MYT
LOS ANGELES: Penyanyi rap Tory Lanez didapati bersalah atas tuduhan menyerang dan menembak bintang hip-hop Megan Thee Stallion pada tahun 2020.
Memetik laporan BBC, Mahkamah Los Angeles mensabitkan kesalahan ke atas Lanez atas kesalahan cuai melepaskan tembakan, menyerang dengan senjata api separa automatik, dan membawa senjata api tidak berdaftar.
Atas kesalahan itu, Lanez berdepan hukuman penjara lebih 20 tahun.
Lanez bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika keputusan dibacakan.
Dia kemudian direman dalam tahanan dan akan dijatuhi hukuman pada 27 Januari.
Sehingga kini, masih belum diketahui sama ada penyanyi berusia 30 tahun itu bercadang untuk membuat rayuan.
Sementara itu, peguam Megan Thee Stallion memberitahu pemberita, "juri telah buat keputusan yang betul. Saya bersyukur ada keadilan untuk Meg."
Megan walau bagaimanapun tiada di mahkamah ketika keputusan dibacakan.
Semasa perbicaraan, Megan Thee Stallion atau nama sebenarnya Megan Pete, memberi keterangan bahawa dia ditembak dan cedera di kaki ketika berada di sebuah parti di Hollywood Hills pada 12 Julai 2020.
Kejadian tercetus apabila Lanez atau nama sebenarnya Daystar Peterson berang kerana Megan memperlekehkan bakat muziknya.
Megan menuntut untuk dikeluarkan dari sebuah kereta mewah sebelum Lanez melepaskan lima das tembakan ke arahnya.
“Lanez menyuruh saya 'menari' sebelum melepaskan tembakan,” kata Megan.