Penyanyi rap AS Sean 'Diddy' ditahan berhubung dakwaan serangan

Bernama
September 17, 2024 16:48 MYT
Penyanyi rap Amerika Syarikat Sean "Diddy" Combs ditahan di New York atas tuduhan serangan seksual, menurut pihak pendakwa raya pada petang Isnin. - Gambar fail/REUTERS
NEW YORK: Penyanyi rap Amerika Syarikat Sean "Diddy" Combs ditahan di New York atas tuduhan serangan seksual, menurut pihak pendakwa raya pada petang Isnin, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pendakwaan dijangka didedahkan kepada umum pada Selasa, menurut Peguam Daerah Damian Williams.
Combs, yang terkenal dengan lagu-lagu seperti "Bad Boy for Life" dan "I'll Be Missing You," menjadi sasaran selepas beberapa tindakan undang-undang sivil dibuat ke atasnya atas dakwaan rogol dan penderaan.
Peguam Combs, Marc Agnifilo menyifatkan tuduhan terbabit sebagai "pendakwaan tidak adil" oleh Pejabat Peguam AS.
Combs memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dan secara sukarela pergi ke New York sebagai persediaan menghadapi pertuduhan, kata Agnifilo.
"Combs adalah individu yang tidak sempurna, tetapi dia bukan seorang penjenayah," kata Agnifilo.
Pada Mac, penyiasat AS menggeledah kediaman Combs di Los Angeles dan Miami.
Pada Mei, CNN menyiarkan video yang menunjukkan Combs menyerang teman wanitanya ketika itu, penyanyi Cassie Ventura di sebuah hotel pada 2016.
Selepas rakaman video itu, penyanyi rap berusia 54 tahun itu mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.
Ventura memfailkan saman sivil terhadap Combs pada 2023, menuduhnya melakukan penderaan seksual, rogol, intimidasi dan keganasan fizikal sepanjang hubungan mereka.
Combs menafikan dakwaan itu pada waktu itu.
-- BERNAMA
#Sean Diddy Combs #ditahan #dakwaan serangan #New York
;