Penyanyi popular Mikaben meninggal dunia selepas rebah di pentas

Agensi
Oktober 18, 2022 06:36 MYT
Menerusi laman Twitter Accor Arena, Mikaben atau nama sebenarnya Michael Benjamin disahkan meninggal dunia pada pukul 1.30 pagi Ahad. - Gambar INSTAGRAM @mikaben509
PENYANYI ternama kelahiran Haiti, Mikaben dilaporkan meninggal dunia ketika mengadakan persembahan di Accor Arena, Paris.
Bintang berusia 41 tahun yang terkenal dengan lagu Ou Pati dilaporkan berhenti membuat persembahan dan meninggalkan pentas sebelum rebah di lantai.
Memetik laporan Mirror, pasukan perubatan melakukan bantuan ke atas Mikaben namun usaha untuk menyelamatkannya gagal.
Penonton yang berada di lokasi turut diminta meninggalkan dewan sejurus pasukan penyelamat tiba memulakan pertolongan cemas.
Menerusi laman Twitter Accor Arena, Mikaben atau nama sebenarnya Michael Benjamin disahkan meninggal dunia pada pukul 1.30 pagi Ahad.
“Penyanyi Michael Benjamin atau Mikaben yang membuat persembahan di Konsert Carimi meninggal dunia selepas tidak dapat diselamatkan oleh pasukan penyelamat.” tulis wakil Arena dalam bahasa Perancis dalam satu ciapan di Twitter.
Dalam masa sama, isterinya, Vanessa turut mengesahkan berita kematian suaminya.
“Bukan masa sesuai untuk bercakap. Saya baru sahaja kehilangan suami dan hilang kata-kata,” tulis Vanessa di Twitter.
Dalam ciapan berbeza, Vanesss menulis agar diberi kekuatan menjalani ujian berat ini.
“Oh Tuhan, saya tahu anda tidak melakukan kesalahan dan anda tidak akan memberi kita apa yang tidak dapat kita tanggung tetapi, kesakitan ini terlalu berat. Tolonglah aku, tolong, oh Tuhan yang penuh belas kasihan,” tulisnya.
Sementara itu, sehingga kini punca kematian sebenar Mikaben masih belum dikenal pasti.
Mikaben meninggalkan seorang isteri yang sedang hamil serta dua cahaya mata, Gabriel Benjamin dan Leïa Benjamin.
#Mikaben #Michael Benjamin #pasukan penyelamat #Paris