Penyanyi pop yeh yeh, A Halim meninggal dunia

Astro Awani
Mei 9, 2024 14:05 MYT
A Halim menghembuskan nafas terakhir jam 10.30 pagi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan pada 7 malam tadi.
KUALA LUMPUR: Penyanyi irama pop yeh yeh, Datuk A Halim meninggal dunia di Hospital Penawar Pasir Gudang hari ini.
A Halim atau nama sebenarnya Abdul Halim Mohammad Diah, 76, menghembuskan nafas terakhir jam 10.30 pagi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan pada 7 malam tadi kerana sesak nafas.
Difahamkan, Allahyarham lumpuh sebelah badan sejak lima tahun lalu selepas terkena serangan strok.
Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah, dalam satu kenyataan mengesahkan pemergian Allahyarham dan mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarganya.
"Seorang lagi permata industri hiburan tanah air yang menyinar sekitar tahun 60-an Allahyarham Abdul Halim Mohammad Diah telah kembali ke rahmatullah pada jam 10.30 pagi tadi di Hospital Penawar Pasir Gudang Johor pada usia 76 tahun.
"Beliau meninggal dunia akibat strok yang dialami sekian lama.
"Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, A Halim turut pernah menyanyi bersama beberapa kumpulan kugiran antaranya adalah De’ Fictions, The Wanderers dan The Wisma.
"Beliau turut merakam beberapa buah album antaranya Hitam Manis, Ep Gadis Buta, Salam Mesra Dari A Halim dan banyak lagi.
"Antara lagu dendangan beliau adalah Doa dan Harapan, Dendang Terakhir, Kawan Lama, Kan Hilang Nanti, Kisah dan Tauladan, Ku Tetap Kasih, Cenderawasih dan Budi Pekerti," katanya.
Beliau berkata, jenazah kini berada di Hospital Penawar Pasir Gudang dan akan dibawa ke Masai untuk urusan seterusnya.
#bintang pop yeh yeh #A Halim #meninggal dunia #Seniman
;