Penyanyi The Pointer Sisters, Anita Pointer meninggal dunia
Agensi
Januari 1, 2023 16:50 MYT
Januari 1, 2023 16:50 MYT
LOS ANGELES: Salah seorang ahli kumpulan R&B The Pointer Sisters yang terkenal era 70-an, Anita Pointer meninggal dunia pada usia 74 tahun.
Memetik laporan CNN, pegawai publisiti kumpulan itu, Roger Neal memaklumkan Pointer meninggal dunia semalam di kediamannya yang terletak di Los Angeles di sisi ahli keluarga.
Menurut salah seorang anggota keluarga, meskipun sedih dengan pemergian Anita, namun lega apabila memikirkan dia kini bersama anak perempuannya, Jada dan adik-beradiknya June dan Bonnie.
"Syurga adalah tempat lebih penyayang dan indah dengan kehadiran Anita di sana.
“Anita membuatkan kami semua rapat. Kasih sayangnya terhadap keluarga akan terus hidup dalam diri kami,” katanya sambil menambah pihak keluarga meminta privasi keluarga dihormati sepanjang tempoh berkabung ini.
The four Pointer Sisters memulakan karier nyanyian lebih 50 tahun lalu di sebuah gereja di Oakland, California, tempat bapa mereka berkhidmat.
Bonnie Pointer dan adik bongsunya, June membuat penampilan sulung sebagai penyanyi duo berkumpulan pada tahun 1969. Mereka kemudian merekrut Anita dan Ruth untuk menyertai mereka, sebelum tampil dengan album pertama bersama-sama pada 1973.
Kumpulan ini memenangi Anugerah Grammy pertama menerusi "Fairytale," pada tahun 1974. Mereka juga terkenal dengan lagu hits seperti "Slow Hand," "Neutron Dance" dan "Jump." .
Kumpulan ini pernah memenangi tiga Anugerah Grammy dan menduduki carta US Top 20 hits sebanyak 13 kali antara 1973 dan 1985.