Penyanyi Natalie Cole meninggal dunia

Agensi
Januari 2, 2016 09:48 MYT
Menurut keluarga mendiang, ikon jazz Natalie Cole meninggal pada Khamis di Cedars-Sinai Medical Center di Los Angeles berikutan komplikasi masalah kesihatan yang berterusan. - Foto AP/ Victoria Will
Penyanyi Natalie Cole, anak perempuan lagenda Nat 'King' Cole meninggal dunia pada usia 65 tahun pada malam sambutan ambang tahun baharu 2016.
Menurut keluarga mendiang, ikon jazz yang mewarisi bakat muzik mendiang bapanya meninggal dunia pada Khamis di Cedars-Sinai Medical Center di Los Angeles berikutan masalah kesihatan yang berlarutan.
"Natalie bertarung dengan penyakitnya dengan maruah, kekuatan dan kehormatan.
"Ibu tercinta kami pastinya akan dirindui dan akan kekal mekar dalam hati kami buat selama-lamanya," kata anaknya, Robert Yancy ketika membacakan kenyataan keluarganya itu.
Cole sebelum ini pernah mengalami masalah ketagihan dadah dan hepatitis dan terpaksa menjalani pemindahan buah pinggang pada Mei 2009, lalu.
Kakak Cole, Carol "Cookie" Cole, meninggal dunia ketika beliau menerima pemindahan berkenaan. Adiknya, Nat Kelly Cole meninggal dunia pada tahun 1995.
Natalie mendapat inspirasi daripada bapanya pada usia yang muda untuk menjadi penyanyi dan melalui uji bakat untuk menyanyi bersama ayahnya ketika berusia 11 tahun.
Pada usia 15 tahun, bapanya meninggal dunia selepas menderita akibat kanser paru-paru pada tahun 1965.
Selepas berkecimpung dalam bidang nyanyian sebagai penghibur RB, Natalie mula berjinak-jinak dengan genre pop dan jazz.
Kejayaan terbesar Natalie adalah pada tahun 1991 apabila beliau menghasilkan album berjudul "Unforgettable ... With Love" yang ditujukan khas untuk bapanya. Album itu turut menampilkan lagu-lagu terbaik Nat King Cole termasuk "That Sunday That Summer," ''Too Young" and "Mona Lisa."
Album berkenaan berjaya dijual sebanyak 14 juta unit dan meraih sebanyak enam anugerah Grammy, termasuk anugerah album terbaik sepanjang tahun dan lagu terbaik sepanjang tahun.
Ketika penghasilan album berkenaan, Natalie dalam satu temuramah dengan The Associated Press pada tahun 1991 berkata, "saya tepaksa membuang segala unsur R&B yang telah dipelajari. Bersamanya (Nat King Cole), muzik hanyalah latar belakang dan suara yang akan menonjol di hadapan.
Natalie juga pernah dicalonkan untuk anugerah Emmy pada tahun 1992 bagi satu persembahan memperingati ayahnya di kaca televisyen.
Album pertama Natalie, "Inseparable" dilancarkan pada tahun 1975. Industri muzik Amerika menyambut baik kehadiran album itu dengan dua anugerah Grammy untuk Artis Baru Terbaik dan Artis Wanita R&B Terbaik menerusi lagu "This Will Be (An Everlasting Love)."
Beliau juga pernah menceburi bidang lakonan menerusi penampilannya dalam drama TV bersiri, "Touched by an Angel" dan "Grey's Anatomy".
#jazz #meninggal dunia #nat king cole #natalie cole #R&B
;