Penyanyi latar India, Unni Menon adakan konsert di Malaysia
Bernama
Mac 11, 2023 13:20 MYT
Mac 11, 2023 13:20 MYT
KUALA LUMPUR: Penyanyi latar filem India, Unni Menon, bakal membuat persembahan di Malaysia bulan ini dengan menampilkan beberapa lagu versi unplugged.
Konsert selama empat jam bertemakan "Unni Menon Rocks 1.0 Live Concert In Kuala Lumpur" itu akan diadakan di Shantanand Hall, Temple of Fine Arts, Brickfields, bermula 7 malam pada 19 Mac.
"Konsert ini unik kerana buat kali pertama diadakan di Malaysia. Beberapa lagu gubahan komposer terkenal AR Rahman turut akan didendangkan," kata Pengarah MNESS Productions, Muniswaran Sivanathan kepada Bernama.
Konsert itu turut menampilkan penyanyi program Vijay TV Super, "Roshini "dan "Reshma".
Unni Menon telah merakamkan lebih 4,000 lagu dalam pelbagai bahasa termasuk Tamil, Malayalam Telugu dan Kannada.
Konsert itu akan dihoskan oleh Rj Teresa Lazaro dan Rj Gokul Kogul dan pintu masuk akan dibuka seawal pukul 5 petang.
Pengunjung konsert dinasihatkan untuk membeli tiket dari myticket.asia atau hubungi penganjur di talian: 0126577102 untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA