Penyanyi lagu parodi Azman Naim 'dikehendaki' oleh TMJ

Astro Awani
Ogos 26, 2021 21:54 MYT
TMJ dalam satu perkongsian di Instagram Stories, mencari pemilik akaun tersebut sambil memuji perkongsian Azman Naim kapsyen 'First Class'. - Gambar/ Instagram
KUALA LUMPUR: Seorang individu yang dikenali sebagai Mohd Nur Azman Naim ‘dikehendaki’ oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibrahim.
Ini kerana, individu tersebut berjaya mencuri perhatian ayahandanya, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar susulan sebuah video nyanyian parodinya yang tular di Instagram.
Azman, 36, sering memuat naik video nyanyiannya di platform media sosial dan baru-baru ini lagu saduran 'My Way' dendangan Frank Sinatra yang dimuat naik oleh beliau mendapat perhatian ramai.
TMJ dalam satu perkongsian di Instagram, mencari pemilik akaun tersebut sambil memuji perkongsian Azman Naim dalam Instagram dengan kapsyen 'First Class'.
Beberapa jam kemudian, Azman yang merupakan pemilik akaun Instagram @azmannaim44mantra menyedari dirinya dicari oleh TMJ, turut memberikan maklum balas dengan menulis ‘Menjunjung Kasih Tuanku’.
Azman yang juga bapa kepada dua anak aktif membawakan lagu popular yang ditukar ke lirik bahasa Melayu dengan mengambil isu semasa sebagai tema nyanyian lagu saduran sejak pertengahan tahun lalu.
Tidak cukup dengan memiliki suara yang agak unik, lirik yang dibawa olehnya pula cukup dekat dengan situasi dilalui masyarakat masa kini yang terpaksa berperang dengan pandemik COVID-19.
#TMJ #Sultan Johor #lagu parodi #azmannaim44mantra
;