Penyanyi kumpulan pop rock ditahan reman dalam kes dadah

Astro Awani
November 20, 2014 12:25 MYT
Suspek ketika di mahkamah semalam. - Gambar fail
Mahkamah Majistret Selayang hari ini membenarkan permohonan tahanan reman terhadap seorang penyanyi dan pelakon lelaki berusia 35 tahun yang didakwa memiliki dadah jenis syabu.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membenarkan penyanyi itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15 (1) (a) akta yang sama.
Semalam, suspek tersebut, dilaporkan sebagai bekas penyanyi kumpulan Exist, telah ditahan dalam satu serbuan kira-kira pukul 1.30 petang di sekitar Kompleks Selayang Mall.
Suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dalam "Ops Tapis", ketika dia sedang memandu.
Pemeriksaan polis ke atasnya menemui satu lipatan kertas putih yang di dalamnya mengandungi sepeket kecil plastik lutsinar berisi dadah syabu anggaran 0.30 gram yang digenggam di tangan kirinya.
Saringan awal ujian air kencing ke atasnya juga didapati positif dadah jenis 'Meth'.
#Dadah #Exist #meth #penyanyi #Syabu
;