Penyanyi Jane Birkin meninggal dunia

Sinar Harian
Julai 17, 2023 08:30 MYT
Difahamkan, Jane menderita penyakit leukemia sejak 2002, selain mengalami strok sejak dua tahun lalu. - Foto Sinar Harian
PENYANYI kelahiran Britain, Jane Birkin dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Paris, Perancis dipercayai akibat penyakit leukemia pada Sabtu.
Menurut Independent UK, Birkin atau nama penuhnya Jane Mallory Birkin menghembuskan nafas terakhir pada usia 77 tahun setelah ditemui tidak sedarkan diri oleh kakitangan kesihatan yang merawatnya.
Difahamkan penyanyi yang juga bekas model dan aktif sebagai penulis lagu itu menderita penyakit leukemia sejak 2002, selain mengalami strok sejak dua tahun lalu.
Disebabkan kondisi kesihatannya yang semakin memburuk. Birkin terpaksa membatalkan beberapa persembahan yang dirancang termasuk yang terakhir pada Mac lepas.
Selebriti popular yang menetap di Perancis sejak 1970-an itu turut dikenali kerana namanya menjadi inspirasi kepada jenama beg tangan mewah, Hermes Birkin. Pesona yang dimiliki ternyata menjadi tuah buat dirinya mencipta nama dan diterima baik di negara tersebut.
Ibu kepada tiga anak itu dikenali menerusi duetnya bersama penyanyi dan penulis lagu dari Perancis, Charles Gainsbourg menerusi lagu Je t'aime Moi Non Plus pada tahun 1969.
Mereka juga tampil dengan tiga album iaitu Baby Alone in Babylone pada 1983, Lost Song (1987) dan Amours Des Feintes (1990).
Birkin juga turut menghasilkan album solo yang terdiri daripada Di Doo Dah, Ex Fan Des Sixties dan Lolita Go Home. - Sinar Harian
#Jane Birkin #meninggal dunia #penyanyi Britain #leukemia
;