Penyanyi Chitra bakal muncul dengan konsert solo pertama di Malaysia esok

Umavathi Ramayah
Mac 3, 2023 16:02 MYT
KS Chitra yang pernah merakam lebih 25,000 lagu dalam pelbagai bahasa bakal mengadakan konsert solo yang pertama di Malaysia, malam Sabtu. - Foto Mojo Projects
KUALA LUMPUR: Penyanyi popular India, KS Chitra yang pernah merakam lebih 25,000 lagu dalam pelbagai bahasa bakal mengadakan konsert solo yang pertama di Malaysia, malam Sabtu.
Selain bahasa Tamil, Malayalam, Telugu, Kannada, Hindi, Bengali, Oriya, Punjabi, Gujarati, Tulu, Rajasthani, Urdu, Sanskrit dan Badaga, penyanyi berusia 60 tahun itu juga pernah merakam lagu dalam bahasa Latin, Arab, Sinhalese, Inggeris dan Perancis.
Pastinya peminat Chitra dapat melepaskan 'gian' terhadap genre irama lagu yang bakal dinyanyikan Queen of Melody itu di pentas Zepp Kuala Lumpur kira-kira pukul 8 malam, esok.
Sepanjang kariernya lebih 40 tahun, penyanyi bersuara emas yang dikenali sebagai 'chinna kuyil' di India Selatan itu pernah mengadakan beberapa konsert di Malaysia, namun menurutnya, ini merupakan penampilan solo beliau yang pertama menerusi anjuran Mojo Projects Sdn Bhd.
"Dari segi latihan vokal dan sesi latihan bersama barisan pemuzik, setakat ini saya rasa berjalan lancar dan semuanya memberi komitmen yang terbaik untuk menjayakan konsert ini," katanya pada sidang media , pada Jumaat.
Anak kelahiran Kerala itu pernah merangkul tiga Anugerah Filem Kebangsaan dengan anugerah pertama diterimanya pada 1986 menerusi lagu Naan Oru Sindhu Kavadi Sindhu sebagai Penyanyi Wanita Terbaik.
Chitra juga telah menerima pelbagai anugerah dan penghormatan tertinggi India, termasuk Padma Bhushan (2021) dan Padma Shri (2005).
Sejak lewat 70-an hingga era milenium, Chitra melalui fasa terbaik dalam kerjayanya dengan beberapa hits terbesarnya.
Antaranya ialah lagu Main Prem Ki Diwani Hoon, filem lakonan Kareena Kapoor, Hrithik Roshan dan Abhishek Bachchan, Mere Dil Ka Tumse Hai Kehn (Armaan), Jaage Hain (Guru) yang dibintangi Aiswarya Rai dan Abhisbek Bachchan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mojo Projects, Ratna K Nadarajan berkata, selain konsert Chitra, empat lagi konsert bakal dipentaskan tahun ini.
Katanya, Mojo Projects menawarkan Super Fan Pass pada harga RM1,388 untuk lima konsert yang bakal dipersembahkan itu.
"Dengan pas istimewa ini, peminat mempunyai akses kepada pelbagai faedah termasuk tempat duduk semua akses, pek hadiah eksklusif dan yang paling menarik sesi meet and greet bersama barisan artis," jelasnya.
Beliau pendapat, kebanyakan daripadanya konsertnya dilakukan dalam skala kecil kerana ia dapat merapatkan hubungan antara artis dan peminat berkenaan.
Konsert keduanya kata beliau adalah bertemakan Retro Rahman 3.0 yang bakal menyaksikan persembahan dari penyanyi legenda seperti Srinivas, Haricharan, Sharanya Srinivas, Rashita Suresh dan Groove Culture Band.
Konsert ketiga disusuli dengan Mojo Live Jam yang menampilkan kumpulan Masala Coffee dan Staccato. Manakala, konsert keempat diadakan sebagai penghormatan kepada SP Balasubramaniam dengan menampilkan anak lelakinya.
Terakhir dan kelima pula membabitkan Malaysian Independent Live Fusion Festival (MILFF) yang menjadi konsert dinanti-nantikan.
Tiket berkenaan boleh dibeli di lokasi konsert atau menerusi www.excitix.com.my
#konsert #Mojo projects #hiburan india #penyanyi popular
;