Penyanyi baharu beruntung kerana media sosial - Dayang Nurfaizah

Malissa Sahari
Februari 7, 2017 11:26 MYT
Dayang menyifatkan penyanyi baharu bijak kerana memanfaatkan media sosial. - Foto Astro AWANI
Penyanyi kelahiran Bumi Kenyalang Dayang Nurfaizah menyifatkan penyanyi baharu bertuah kerana berpeluang mempromosi diri dan muncul sebagai penyanyi dalam tempoh yang singkat.
Trend itu, menurut pelantun lagu ‘Lelaki Teragung’ tersebut, sangat berbeza dengan proses yang perlu dilalui oleh penyanyi yang seangkatan dengannya.
“Sekarang ini, mereka (bakat baharu) boleh memuat naik video dan terus boleh mempromosikan diri. Kadang-kadang tanpa perlu (penglibatan) syarikat rakaman.
“Bakat baharu sekarang ini juga semakin berani (menonjolkan diri) kerana mereka sudah tahu hala tuju mereka dalam muzik. Mereka juga ada karakter tersendiri yang mahu ditonjolkan,” ujarnya yang muncul sebagai tetamu program Buletin AWANI Pagi pada Selasa.
Jelas Dayang yang tiba seawal jam 6.30 pagi ke studio AWANI berkata, penyanyi sepertinya pula perlu melalui proses tertentu, bermula dengan menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman dan barulah selepas itu menghasilkan album.
Selain itu, penyanyi seangkatannya juga perlu memikirkan tentang banyak perkara lain seperti imej, pemilihan lagu, konsep dan beberapa aspek lain sbelum mencipta nama di pentas nyanyian.
“Namun, semua proses itu membuatkan saya ingat pada perjalanan krjaya saya,” ujar Dayang yang tidak pernah meletakkan dirinya pada tahap tertinggi walaupun sudah berkecimpung dalam suara seni selama 16 tahun.
Jelas penyanyi yang bebas kontroversi ini, pemilihan lagu dan lirik menjadi antara kriteria yang perlu dititikberatkan.
Katanya, sifat ‘cerewet’ adalah penanda aras untuk kualiti sesebuah lagu yang beliau sampaikan.
“Tetapi cerewet itu kena juga, Bagi saya, ia dari segi melodi lagu itu sendiri, liriknya dan juga gubahannya. Sebabnya, ada melodi yang tak syok atau gubahan melodi tak memberi semangat. Itu semua berkait rapat (dalam penghasilan lagu yang baik),” jelasnya.
Dayang juga memberitahu, beliau kini sudah menemui keseimbangan dalam kariernya setelah setelah melalui proses pembelajaran dan menerusi pelbagai percubaan. Semua itu, menurutnya, membuatkan dirinya lebih arif dalam memilih hala tuju dalam persembahan yang disampaikannya.
Menerusi aplikasi perkhidmatan muzik dan radio penstriman, Raku, lagu 'Lelaki Teragung' yang kini mencatatkan lebih 20,000 tontonan dilihat sebagai tiket bagi Dayang mendapat pengiktirafan Artis Terbaik Raku.
#awani pagi #Dayang Nurfaizah #media sosial #penyanyi baharu
;