Penyanyi asal lagu All By Myself, Eric Carmen meninggal dunia pada usia 74 tahun
Agensi
Mac 12, 2024 10:45 MYT
Mac 12, 2024 10:45 MYT
PENYANYI asal lagu All By Myself, Eric Carmen dilaporkan meninggal dunia pada hujung minggu lalu.
Carmen yang juga vokalis kumpulan pop rock Raspberries itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 74 tahun dalam tidur.
Menurut isterinya, Amy Carmen, mereka sekeluarga terlalu berduka dengan kehilangan mendiang.
"Dengan rasa sedih yang teramat sangat kami berkongsi berita yang menyayat hati tentang pemergian Eric Carmen," tulis Amy di laman web rasminya.
“Eric kami yang manis, penyayang dan berbakat meninggal dunia dalam tidurnya, pada hujung minggu.
“Ia membawa kegembiraan yang besar kepadanya untuk mengetahui, selama beberapa dekad, muziknya menyentuh begitu banyak orang dan akan menjadi warisannya yang kekal. Tolong hormati privasi keluarga ketika kami meratapi kehilangan besar kami,” tulis Amy lagi.
Sehingga kini, tiada punca atau tarikh sebenar kematian Carmen yang dikongsi.
Carmen mula menempah kemasyhuran bersama Raspberries menerusi lagu Go All the Way.
Selepas band itu berpecah pada pertengahan tahun 70-an, Carmen muncul sebagai penyanyi solo yang berjaya khususnya menerusi lagu All By Myself dan Never Gonna Fall in Love Again.
Lagu All By Myself nyanyian asal Carmen juga pernah dirakamkan semula oleh penghibur tersohor dunia, Celine Dion pada 1996. - Agensi