Penyanyi 'Anaconda' Nicki Minaj berpacaran dengan penyanyi rap legenda Eminem?
Agensi
Mei 27, 2018 22:11 MYT
Mei 27, 2018 22:11 MYT
PENYANYI genit dan sensasi, Nicki Minaj mengejutkan peminatnya hari ini selepas mengakui dia kini berpacaran dengan penyanyi rap legenda dan ikon hip-hop, Eminem.
Pengakuan dibuat Minaj sejurus memuat naik sebuah video di laman instagram bagi mempromosikan lagu single terbarunya 'Big Bank' bersama 2 Chainz, Big Sean dan YG.
Penyanyi lagu Anaconda itu, memberi respon kepada salah seorang peminat yang bertanyakan jika dia bersama dengan Eminem di segmen komen video tersebut.
Tanpa memberi sebarang perincian, Minaj, 35 tahun berkata "Ya" sebagai balasan kepada komen tersebut.
Beberapa jam kemudian, Eminem, 45 tahun memberi respon kepada komen itu, "Kamu tahu ia benar" dan sebagai balasan semula kepada komen Eminem, Minaj berkata "saya ingat kamu ingin merahsiakan perkara ini sehingga majlis perkahwinan kita. Saya akan berbincang dengan kamu selepas saya pulang ke rumah."
Apa yang lebih mencurigakan ialah Minaj menggunakan nama Eminem dalam lagu barunya.
Bagaimanapun, ramai peminat tidak percaya dan mendakwa kedua-dua penyanyi rap itu sedang mempersendakan pengikut yang memberikan komen tersebut.
Menurut E! News, sumber memberitahu bahawa ia tidak benar.
Minaj dan Eminem pernah berkerjasama sebelum ini pada 2010 dalam lagu minaj, Roman's Revenge.
Hubungan bersama bekas teman lelaki Minaj, Nas, berakhir Disember lalu. Dalam sebuah temu bual bersama Ellen DeGeneres, dia berkata "saya ingin menghabiskan setahun tanpa menjalinkan apa-apa hubungan dengan lelaki. Saya tidak suka lelaki."
Begitu juga dengan Eminem, selepas berpisah dengan isterinya Kimberly Scott buat kali kedua pada 2006, dia tidak menjalin hubungan serius dengan wanita.