Penyampai radio 'US Top 40' meninggal dunia di Hari Bapa
AFP RELAXNEWS
Jun 16, 2014 08:48 MYT
Jun 16, 2014 08:48 MYT
Casey Kasem, penyampai dan personaliti radio yang mengendalikan rancangan ‘Top 40’ yang disiarkan di seluruh Amerika Syarikat untuk hampir 40 tahun, meninggal dunia pada Ahad.
Beliau meninggal dunia pada usia 82 tahun.
Kasem, yang pernah meminjamkan suara untuk watak Shaggy dalam rancangan kanak-kanak popular Scooby-Doo memulakan kerjayanya di American Top 40 pada tahun 1970.
Rancangan tersebut adalah kiraan carta majalah Billboard untuk 100 lagu paling popular.
Rancangan tersebut mendapat tempat di stesen-stesen radio tempatan di sana, di mana setiap kali rancangan tersebut ke udara, ia akan disertakan bersama lagu permintaan dan biografi mengenai artis berkenaan.
Kasem meninggal dunia di Gig Harbor, Washington selepas menderita penyakit Lewy body dementia yang menyebabkan penurunan keupayaan mental.
“Pada pagi Hari Bapa ini, ayah kami, Casey Kasem telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
"Walaupun kami tahu, ayah akan tenang di sana, namun tetap kami bersedih di atas kehilangan insan yang paling kami sayang” itu antara ucapan anak-anak Kasem - Kerri, Mike dan Julie.
Sebelum itu, media di sana melaporkan, pada saat-saat terakhir hayatnya, keluarga Kasem telah terlibat dalam satu pertikaian undang-undang yang melibatkan tiga orang anaknya dari perkahwinan terdahulu dengan isterinya, pelakon Jean Kasem- iaitu perbalahan mengenai rawatan akhir ke atas Kasem.
Bagaimanapun, seorang Hakim di California telah memutuskan hak penjagaan jatuh ke atas anak perempuannya Kerri, selepas isterinya mengeluarkan Kasem dari hospital, lapor CNN.
Kasem memulakan Casey Top 40 pada tahun 1989 sebelum menukarkannya kepada American Top 40.
Kasem kemudiannya bersara pada tahun 2009 dan tempatnya diganti oleh pengacara terkenal, Ryan Seacrest.
Kasem juga merupakan juruhebah iklan di NBC sekitar tahun 70an dan 80an.
Kasem berasal dari keluarga imigran Lubnan dan dilahirkan di Detroit.