Penulis siri 'Dawson's Creek' kemurungan positif COVID-19 dipercayai bunuh diri

Agensi
Jun 22, 2021 22:36 MYT
Selepas menderita dan bertarung dengan COVID-19 selama 13 bulan, Ferrer (kiri) dilaporkan tidak mampu lagi untuk melawan kesakitan yang diakibatkan oleh jangkitan COVID-19. - Gambar fail
Penulis siri drama TV Dawson’s Creek, Heidi Ferrer dilaporkan membunuh diri selepas bertarung dengan COVID-19 selama lebih setahun.
Ferrer, 50 turut menulis nota terakhir yang dititipkan dalam blog peribadinya, GirltoMom buat suami tercinta, Nick Guthe, sebelum ditemui mati pada 26 Mei lalu.
“Penderitaan yang dialami Heidi termasuk kesakitan fizikal yang menyebabkan dia terpaksa berjaga di waktu malam kerana tidak dapat menahan kesakitan menyebabkan dia (Heidi) mengambil keputusan sedemikian,” kata Guthe yang merupakan seorang penulis lakon layar dan pengarah filem.
Ferrer dilaporkan menyumbang dalam pembikinan dua episod drama, Dawson’s Creek pada tahun 1999.
Menurut Guthe, dia tidak mampu untuk berkongsi maklumat berhubung kematian isterinya kerana tidak mahu perkongsiannya membawa kepada penderitaan psikologi terhadap anak lelaki mereka.
BACA: PKP: Sokongan emosi berdepan ketidaktentuan, ini senarai talian psikososial
Guthe berkata, selepas menderita selama 13 bulan, Ferrer tidak mampu lagi untuk melawan kesakitan yang diakibatkan oleh jangkitan COVID-19 itu.
“Wabak ini merobek setiap saat kehidupannya, cintanya yang mendalam terhadap aktiviti luar, makanan dan membaca," katanya.
Guthe berkata, kesan jangka Panjang COVID-19 ialah krisis kesihatan awam yang perlu ditangani segera.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Jika anda mengalami tekanan emosi dan ketidaktentuan, telefon hotline Befrienders atau mana-mana kumpulan sokongan yang kami sertakan dalam pautan dalam artikel ini.
#COVID-19 #membunuh diri #Heidi Ferrer #Nick Guthe #Dawson's Creek #jangkitan
;