Penubuhan Perbadanan Muzik Malaysia demi masa depan industri muzik tempatan - Saifuddin

Hasimi Muhamad
April 5, 2021 19:12 MYT
Saifuddin berkata penubuhan perbadanan tersebut bagi memastikan masa depan industri muzik tanah air lebih terbela, selain memperkasakan ekosistem muzik tempatan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang dalam proses menyediakan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi penubuhan Perbadanan Muzik Malaysia.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata penubuhan perbadanan tersebut bagi memastikan masa depan industri muzik tanah air lebih terbela, selain memperkasakan ekosistem muzik tempatan.
Jelas beliau lagi, kertas kerja tersebut akan dibentangkan kepada Jemaah Kabinet dalam masa terdekat bagi mendapatkan kelulusan.
"Sebenarnya perbincangan untuk menubuhkan sesebuah organisasi khusus untuk muzik sudah diadakan sejak banyak tahun, dan apabila pentadbiran baharu tiba di KKMM, kita telah mengadakan beberapa siri libat urus dengan pelbagai kumpulan.
"Kita dari awal lagi kita (merasakan) perlu menubuhkan perbadanan muzik itu dan kita melihat pelbagai perkara dan saya kira sekarang sudah tiba masanya untuk ditubuhkan dan kami harus mendapatkan punca kuasa dan punca kuasa itu adalah daripada Kabinet," katanya pada Sidang Media Pengumuman Penerima Dana Inisiatif Pemulihan Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (Cendana) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), di sini pada Isnin.
BACA: Inisiatif RM10 juta Cendana: Lebih 3,000 artis, pekerja budaya bakal terima manfaat
Mengulas lanjut Saifuddin berkata sesi libat urus termasuk bersama pemain serta penggiat seni negara dilakukan bagi mendapatkan maklum balas mereka berkenaan penubuhan Perbadanan Muzik Malaysia.
Tambahnya, penubuhan tersebut bertujuan mentadbir, mengurus hal ehwal perkembangan pembangunan muzik tanah air.
"Secara spesifik matlamatnya untuk merakyat, membela, mengukuhkan dan memelihara industri muzik Malaysia.
"Ada beberapa quick win yang harus kita laksanakan, ada juga pelan untuk tempoh masa sederhana dan jangka masa panjang termasuk Road To Grammy," ujar beliau.
Antara objektif lain penubuhan Perbadanan Muzik Malaysia termasuk memacu industri muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa dan memelihara Hak Cipta Muzik serta mempertingkatkan mutu perkhidmatan.
#Saifuddin Abdullah #PENJANA #Cendana #Perbadanan Muzik Malaysia #muzik #KKMM #Memorandum Jemaah Menteri #Grammy
;