Penonton puji filem Polis Evo, media sosial dibanjiri #PolisEvo
Astro Awani
September 22, 2015 08:39 MYT
September 22, 2015 08:39 MYT
Filem Polis Evo terbitan Astro Shaw mendapat reaksi positif dari mereka yang telah menonton filem itu.
Filem bergenre aksi komedi ini memaparkan kisah dua anggota polis, Khai (Shaheizy Sam) dan Sani (Zizan Razak) yang berpersonaliti sangat berbeza namun harus bekerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah.
Jalan cerita yang menarik dan lakonan yang mantap merupakan antara pujian yang diluahkan dari peminat filem tempatan yang telah menonton filem ini.
Polis Evo mula ditayangkan pada 17 September.
Ada juga yang berkata bahawa filem Polis Evo bertaraf dunia.
Setakat ini, Polis Evo telah berjaya mencatat kutipan lebih RM2.5 juta daripada 98 buah pawagam seluruh Malaysia serta Brunei dalam tempoh empat hari tayangan.
Kutipan yang tinggi ini mencerminkan bahawa peminat masih yakin dengan filem tempatan.
“Tak menyesal pergi tengok tengah malam hari itu. Ingatkan biasa sahaja, rupanya luar biasa,” kongi Hazleen di Twitter.
Beberapa netizen turut berharap agar para peminat terus memberikan sokongan kepada filem tempatan.
Sementara itu, beberapa artis tempatan turut memuji filem Polis Evo.
Antara artis yang luahkan sokongan mereka adalah Sara Ali, Joe Flizzow, Jehan Miskin dan Dira Abu Zahar.