Penonton jadi gila - Ini momen menarik Konsert Inspirasi Afgan!

Gempak
Oktober 6, 2019 18:20 MYT
Apa yang pasti, persembahan Afgan yang menyampaikan lebih 14 buah lagu itu membuatkan hampir 2,000 penonton terpukau.
KONSERT Inspirasi Afgan Live di Kuala Lumpur telah menjadi kenangan yang terindah buat hampir 2,000 penonton yang hadir di HGH Convention Centre, Kuala Lumpur, malam tadi.
Rata-rata peminatnya terpukau dengan persembahan hebat Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, 30, yang menyampaikan 14 buah lagu popularnya.
Bertemakan 'Inspirasi', konsert itu bertujuan untuk menyuntik semangat, memberi ilham dan berkongsi sumber inspirasi pelantun lagu 'Jodoh Pasti Bertemu' dalam mengharungi cabaran sepanjang hidup dan pembabitannya dalam industri.
Tidak keseorangan, konsert itu turut menampilkan penyanyi jemputan yang merupakan idola Afgan sendiri iaitu Datuk Sheila Majid.
Antara lagu-lagu yang dipersembahkan adalah seperti Jalan Terus, Katakan Tidak, Knock Me Out, Begitulah Cinta, DiaDia, Bukan Cinta Biasa, Terima Kasih Cinta dan banyak lagi.
Berlangsung selama lebih kurang dua jam, ini antara momen menarik sepanjang konsert itu berlangsung!
1. Sebelum Afgan muncul, penonton dihiburkan dengan band Arjuna yang membawakan lagu-lagu popular dari negara Indonesia seperti Januari dari Glenn Fredly, Kenangan Terindah dari Samsons, Mungkin Nanti dari Peterpan dan banyak lagi.
2. Meskipun undangan konsert tersebut sepatutnya bermula pada jam 8.30 malam, namun Afgan membuat peminatnya ternanti-nanti dan muncul agak lewat sehingga hampir jam 10 malam.
3. Namun kehadiran pengacara Fiza Frizzy yang cuba melengahkan masa itu turut menghiburkan penonton dengan lawak jenaka dan senda guraunya serta beberapa hadiah yang diberikan.
4. Kemunculan Afgan yang dinanti-nantikan itu telah membuat ramai yang teruja sehingga dia disambut dengan jeritan serta tepukan gemuruh dari semua penonton di dewan tersebut.
5. Ternyata penonton yang hadir rata-rata merupakan peminat setia Afgan kerana hampir semua lagu yang dinyanyikan turut dinyanyikan bersama-sama dan penonton terhibur dengan persembahan Afgan.
6. Meskipun Afgan tidak diiringi penari latar, namun aksinya menggerakkan lenggok badannya itu sudah cukup buat ramai yang cair dan hanya memberi tumpuan kepada jejaka berlesung pipit ini.
7. Semasa konsert itu berlangsung, penyanyi yang segak dengan sut kasual berwarna merah malam itu juga sering menerima banyak ungkapan ‘I love you’. Namun dia tidak pernah jemu melayan peminat dan pasti akan membalas ungkapan tersebut.
8. Istimewa untuk penonton yang hadir, Afgan berduet atas satu pentas bersama penyanyi idolanya, Datuk Sheila Majid pada malam itu. Malah penampilan istimewa Sheila turut memukau penonton yang telah bersama menyanyi sambil menari terutama ketika penyanyi itu menyampaikan lagu popularnya, Sinaran.
9. Di penghujung konsert, Afgan membuat kejutan! Selesai menyanyikan lagu Panah Asmara, tiba-tiba seluruh dewan gelap gelita seketika! Dia membuat penonton tertanya-tanya, sama ada konsert sudah berakhir atau tidak. Tiba-tiba, terdengar jeritan penonton di tempat duduk belakang. Rupanya, Afgan melakukan kejutan memasuki dewan dari belakang sambil menyanyikan lagu terakhirnya pada malam itu, Terima Kasih Cinta.
10. Namun kejutan Afgan itu boleh dikatakan sebagai ‘berani mati’! Sebaik sahaja kemunculannya itu disedari penonton, peminat bagai dirasuk dan menggila lantas terus mengeremuninya. Afgan hanyut dalam lautan peminat dan perlahan-lahan cuba berjalan hingga ke atas pentas walaupun dihalang peminat yang cuba mahu mendekatinya serta mengambil gambar. Afgan hampir terjatuh kerana terpaksa bersesak dengan ribuan peminat sebelum naik ke atas pentas.
11. Apa yang pasti, persembahan Afgan yang menyampaikan lebih 14 buah lagu itu membuatkan hampir 2,000 penonton terpukau dan berpuas hati serta pulang dengan senyuman dan mimpi yang indah!
#Afgan Live di Kuala Lumpur #Datuk Sheila Majid #Indonesia #konsert #Konsert Inspirasi Afgan #Kuala Lumpur
;