Penguatkuasa perlu agresif tawan 'lanun', kami dah separuh mati - Seniman
Harits Asyraf Hasnan
Februari 28, 2021 19:07 MYT
Februari 28, 2021 19:07 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menggesa semua agensi penguatkuasa menggembleng usaha menangani isu cetak rompak dengan lebih agresif.
Presidennya, Rozaidi Jamil berkata penguatkuasaan isu cetak rompak ketika ini perlu fokus kepada penjualan kandungan secara digital yang semakin serius.
"Apabila cetak rompak berlaku, mereka (penggiat seni) akan rasa marah sebab hasil usaha mereka dalam industri seni ini bukan perkara yang mudah.
"Perjuangan mereka untuk industri seni, sama ada pembuat filem dan muzik sebagainya bukan satu perkara yang mudah.
"Apa yang boleh kita sarankan sebagai persatuan adalah mencadangkan supaya pihak penguatkuasa yang terlibat dalam cetak rompak ini untuk lebih agresif bagi menangani masalah ini dan perlu pertambahan aggota," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau yang dikenali sebagai Zed Zaidi berkata, isu cetak rompak dalam talian yang semakin meruncing telah menyebabkan kutipan royalti semakin berkurang sekali gus menjejaskan ekosistem industri seni negara.
"Penguatkuasaan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengatasi cetak rompak secara digital dan kerugian dalam industri akan berkurangan.
"Ini akan melibatkan ekosistem industri di mana apabila cetak rompak dikurangkan, royalti kepada industri dapat ditingkatkan.
"Ini yang harus kita tekankan supaya kita dapat membela penggiat-penggiat seni yang berjuang bermati-matian untuk sesuap nasi melalui filem, muzik dan sebagainya dan ini perlu dipandang penting oleh kerajaan," katanya.
Ujarnya, Seniman sentiasa bersedia untuk terus bekerjasama dengan semua pihak dalam memastikan masalah ini ditangani secara holistik.
** Astro AWANI kini dalam usaha membantu industri seni tanah air membanteras cetak rompak menerusi kempen #NoToLanun. Berikan pandangan anda menggunakan tanda pagar #NoToLanun & #StopPiracyLah jika anda ingin bersama-sama membantu menyelamatkan industri seni tempatan.
#Persatuan Seniman Malaysia
#Seniman
#penggiat seni
#no to lanun
#Rozaidi Jamil
#Zed Zaidi
#StopPiracyLah
#NoToLanun
#Cetak rompak