Pengkritik Billboard pilih 'Chapters' Yuna sebagai 10 Album R&B Terbaik 2016
Helmi Majid
Disember 10, 2016 18:29 MYT
Disember 10, 2016 18:29 MYT
Penyanyi kelahiran Alor Setar yang berpangkalan di Los Angeles Amerika Syarikat, Yuna terus memberikan kebanggaan buat peminatnya apabila album terbaharunya, Chapters terpilih dalam senarai 10 Album R&B Terbaik 2016 oleh laman muzik Amerika Syarikat, Billboard.
Chapters tersenarai di tangga ketujuh dalam artikel terbaharu terbitannya.
Bukan mudah untuk Yuna tersenarai kerana, pilihan itu dibuat menerusi ruangan ‘Pilihan Pengkritik’ yang ditulis oleh pengkritik terkenal Billboard, Gail Mitchell pada Jumaat.
Yuna dalam reaksinya sempat mengucapkan terima kasih di atas pemilihan itu.
Memang ‘sukar’, komen Mitchell untuk mendengar kesemua album R&B yang ada, apatah lagi menilai yang mana terbaik dari yang terbaik.
Lebih-lebih lagi dalam menelusuri perkembangan industri yang berkembang terutama dalam genre itu.
Ulasan ini, menjadi ‘review’ sepanjang tahun buat industri muzik dan carta Billboard di Amerika Syarikat.
Berikut adalah senarai album yang terpilih, dan bagi mereka yang mengikuti rapat perkembangan muzik R&B pastinya tahu bukan calang-calang mereka yang tersenarai:
- Beyonce, Lemonade
- Rihanna, ANTI
- John Legend, Darkness and Light
- Frank Ocean, Blonde
- Solange, A Seat at the Table
- Anderson. Paak, Malibu
- Yuna, Chapters
- KING, We Are KING
- Terrance Martin, Velvet Portraits
- Gallant, Ology
Mengungguli pilihan tersebut, Beyonce menerusi album Lemonade, manakala Rihanna, dengan album ‘Anti, di tempat kedua.
Chapters yang diusahakan sejak 2014 itu, memuatkan 11 buah lagu dan dua lagu tambahan untuk versi Deluxe termasuk lagu hit Crush yang Usher.
Album ketiga Yuna, Chapters dilancarkan pada Mei lalu menerusi Verve Records dan pantas mendapat perhatian di beberapa carta terkemuka Amerika Syarikat termasuk carta Billboard.
Selain Billboard, Majalah Rolling Stones pada Jun menerusi tulisan Mosi Reeves turut menyenaraikan album Chapteers sebagai 'Best R&B Albums of 2016 So Far'.
Dalam ulasan yang diberikan, majalah Rolling Stone menyifatkan album itu berjaya memaparkan Yuna sebagai artis yang memiliki bakat penulisan lirik yang luar biasa.
Yuna katanya, hanya memerlukan satu atau dua lagu popular dalam aliran mainstream, untuk membolehkan dia mencipta nama yang lebih kukuh dalam kalangan peminat muzik.
Sekali lagi, syabas dari kami buat Yuna!