Penghormatan terakhir buat Yazit Search

Sinar Harian
September 26, 2019 06:00 MYT
Ahli keluarga dan rakan-rakan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Yazid di Masjid Salehuddin Al Ayubi Taman Melati di sini hari ini. - Foto Sinar Harian
JENAZAH bekas pemain dram kumpulan Search, Allahyarham Yazit Ahmad selamat tiba di Masjid Salehuddin Al Ayubi Taman Melati di sini pada jam 1.14 petang tadi.
Menurut sumber kenalan rapat Allahyarham, jenazah tiba dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dimandikan dan seterusnya solat jenazah.
Jenazah Allahyarham Yazit kemudiannya akan dibawa ke Tanah Perkuburan Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah Taman Selasih untuk dikebumikan selepas solat Asar.
Kelihatan ramai kenalan artis, ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham Yazit memenuhi pekarangan masjid untuk sama-sama menunaikan solat jenazah selepas solat Zohor.
Yazit, 57, yang sebelum ini dilaporkan kritikal sejak kelmarin disahkan meninggal dunia pada jam 11.53 pagi tadi.
Adik angkat Allahyarham, Ashaari Mohd Nasir berkata, Yazit menghembuskan nafas terakhir di sini ahli keluarga dan sahabat handai selepas mesin bantuan pernafasan ditanggalkan pada jam 11.46 pagi tadi oleh doktor pakar merawatnya.
Allahyarham Yazit dimasukkan ke HKL kira-kira jam 3.45 pagi kelmarin selepas mengadu sesak nafas di rumahnya di Taman Melati Kuala Lumpur.
Sebelum ini Allahyarham pernah dimasukkan ke hospital sama pada awal bulan lalu akibat masalah pernafasan.
Allahyarham Yazit meninggalkan isteri, Ramlah Ahmad, 59, dan tiga anak iaitu Razilah, 38, Shahmirnuri, 34, dan Shafiqa Nurlis, 29.
#HKL #Hospital #Hospital Kuala Lumpur #meninggal dunia #pemain dram kumpulan Search #Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah Taman Selasih #Yazit Search meninggal dunia