Pengguna percuma ChatGPT kini boleh akses GPT, muat naik fail
Amanz
Jun 1, 2024 11:40 MYT
Jun 1, 2024 11:40 MYT
CHATGPT sedia ditawarkan dalam bentuk percuma dan juga berbayar.
Menariknya, kini OpenAI memperluaskan beberapa ciri-ciri berbayar kepada pengguna versi percumanya selari dengan pengumuman beberapa minggu sebelum ini.
Melalui kemas kini terbaharu yang ditawarkan melalui ChatGPT, pengguna versi percuma platform penjanaan berasaskan kecerdasan buatan berkenaan sudah boleh mengakses pelbagai GPT yang dibangunkan pihak ketiga untuk tujuan khusus.
Ini sekali gus membolehkan pengguna versi percuma turut melayari GPT Store, dan menggunakan sebarang GPT yang diperlukan.
Walau bagaimanapun, buat masa ini, pengguna versi percuma tidak boleh menghasilkan GPT mereka tersendiri.
Pada masa yang sama, pengguna turut boleh memuat naik fail dan sebagainya untuk analisis lanjutan.
Pengguna versi percuma juga kini diberikan akses terhad kepada penggunaan GPT-4o.
Sejumlah mesej melibatkan model ini akan digunakan terlebih dahulu, dan akan dibawa kepada model GPT-3.5 selepas penggunaan terhad berkenaan habis digunakan.
Sebaliknya, untuk pengguna versi berbayar, mereka boleh mengakses model terbaru ChatGPT berkenaan tanpa had, termasuk mempunyai had aksara yang lebih panjang lagi. -Amanz