Penggiat seni perlu buang jangkaan, cara pemikiran lama - Tiara Jacquelina

Madiha Abdullah
Jun 6, 2020 20:25 MYT
Tiara akui melalui tempoh mencabar untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam menjalankan aktiviti seni. - Bernama
Semua penggiat seni perlu membawa kreativiti masing-masing ke tahap berbeza dalam usaha memastikan hasil karya mereka dapat dipersembahkan kepada umum ketika situasi ekonomi negara tidak menentu.
Pelakon dan penerbit, Puan Sri Tiara Jacquelina berpendapat, kekangan yang dihadapi penggiat seni sewaktu negara berhadapan pandemik COVID-19 memaksa mereka berfikir di luar kotak, termasuk mempraktikkan segala ilmu berkaitan pemasaran dan digital.
"Zaman sekarang, kreativiti sahaja tidak mencukupi. Orang seni perlu ada pemikiran yang lebih ke hadapan dan lebih baik jika ada ilmu dalam bidang teknikal.
"Saya menggalakkan penggiat seni untuk berfikir sebagai digital marketeer. Ini penting kerana dalam keadaan yang kita hadapi hari ini, kebolehan pemasaran melalui platform digital akan memberi manfaat yang sangat besar untuk menjual karya kita.
"Tetapi apapun jangan sampai hilang kreativiti. Proses pemikiran secara kreatif perlu terus berjalan kerana kita adalah pengkarya," katanya dalam temubual bersama Astro AWANI melalui panggilan video.
Beliau yang juga pengasas syarikat produksi Enfiniti dan Enfiniti Academy mengakui melalui tempoh mencabar untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam menjalankan aktiviti seni.
"Kami memang ada menyimpan rakaman pementasan kami yang terdahulu. Apabila berlakunya pandemik, kami perlu bertindak pantas untuk memastikan survival syarikat.
"Kerana itu kami tidak mengambil masa yang lama untuk berhijrah ke platform dalam talian. Walaupun agak gementar tetapi ia sesuatu yang perlu dilakukan dan kami gembira dengan sambutan peminat setakat ini," ujar Tiara.
Dua pementasan Enfiniti iaitu The Secret Life of Nora dan P.Ramlee The Musical, sedang ditayangkan di Vimeo, manakala pembelajaran di akademi pula diteruskan menerusi platform dalam talian sejak April lalu.
"Di peringkat awal pembelajaran melalui dalam talian, memang ramai yang tidak selesa sebab itu bukan kebiasaan kita.
"Tetapi selepas beberapa lama, mereka mula dapat menyesuaikan diri, malah tenaga pengajar juga bersemangat kerana mereka kini mempunyai pelajar dari seluruh negara.
"Sebelum ini ada pelajar di luar Lembah Klang yang mahu menyertai kelas tetapi tidak dapat melakukannya kerana masalah jarak. Sekarang tidak ada lagi masalah itu.
"Begitu juga pementasan melalui platform digital, kami menerima penonton bukan sahaja di Malaysia malah dari luar negara juga seperti Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat," tambahnya.
Proses mengadaptasi, kata Tiara, bukan perkara mudah namun ia tidak mustahil untuk dilakukan malah boleh membawa kelebihan yang lain jika dilakukan dengan cara yang betul dan sistematik.
"Ini masanya untuk kita buang cara pemikiran dan jangkaan lama. Letakkan dalam fikiran, ini norma baharu yang perlu diadaptasi sebagai cara kerja bukan sahaja untuk jangka masa pendek.
"Paling penting, sentiasa berfikiran terbuka dan jangan putus asa untuk meneroka perkara baharu dalam bidang seni kreatif," ujarnya.
#COVID-19 #ekonomi #Enfiniti #Enfiniti Academy #pelajar #penggiat seni #teater #Tiara Jacquelina
;