Penggambaran Tombiruo menguji fizikal, Zul Ariffin tetap bersemangat

Gempak
September 13, 2016 16:33 MYT
Zul Ariffin berkongsi babak-babak penggambaran filem Tombiruo melalui akaun media sosialnya. - Foto Instagram Zul Ariffin
PELAKON kacak Zul Ariffin gembira dapat menjayakan watak aksi walaupun berhadapan dengan kecederaan kecil.
Terbaru, Zul menjayakan watak Ejim dalam sebuah filem aksi terbitan Astro Shaw, Tombiruo Penunggu Rimba.
"Kecederaan kecil sudah menjadi perkara biasa apabila menjayakan watak sebegini. Hal ini terjadi kerana saya melakonkan babak aksi sendiri.
"Sudah pasti ada 'hadiah' calar balar yang akan saya bawa pulang setiap hari sepanjang penggambaran babak aksi berlangsung. Namun begitu, saya cukup gembira dan berpuas hati dapat menjayakan filem ini," kata Zul kepada Astro Gempak.
Berhadapan cabaran untuk melakonkan watak utama yang mempunyai kurang dialog, Zul melebihkan gerakan tubuh dan eye contact.
"Walaupun saya memegang watak utama, karakter Ejim menuntut saya untuk menuturkan dialog yang sangat minima.
"Untuk memberikan lebih kesan terhadap watak, saya melebihkan aksi gerakan tubuh serta eye contact. Pengalaman menjayakan watak sebegini menjadi satu pengalaman baru dalam karier lakonan saya," katanya lagi.
Naskah arahan Nasir Jani dan Seth Larney ini merupakan sebuah filem adaptasi novel karya penulis terkenal Ramlee Awang Murshid.
Selain Zul, pelakon ternama seperti Farid Kamil, Nabila Huda, Dynas Mokhtar, Datuk M. Nasir dan Datin Marlia Musa turut menjayakan filem ini.
#aktor #penggambaran filem Tombiruo #Ramlee Awang Murshid. #watak Ejim #Zul Ariffin
;