Penggambaran 'The Eternals' dihentikan selepas penemuan bom
Asyraf Roslan
November 7, 2019 12:04 MYT
November 7, 2019 12:04 MYT
MENCEMASKAN!
Itu yang dialami kru produksi filem terbaharu Marvel "The Eternals" apabila dimaklumkan penemuan sebutir bom yang masih lagi aktif di lokasi penggambaran mereka.
Malah mereka juga diarah untuk mengosongkan Pulau Canary dengan segera dan berpindah ke lokasi lain yang lebih selamat.
Turut berada di set penggambaran ketika itu ialah pelakon terkenal Angelina Jolie serta pelakon dari Korea Selatan, Ma Dong Seok.
Menurut laporan pihak berkuasa tempatan, bom yang ditemui itu kelihatan seperti sudah lama dan tidak pernah diusik.
"Bom itu kelihatan seperti lama tidak disentuh sejak berkurun lamanya.
"Pihak penyiasat agak bimbang kerana tidak dapat dipastikan jika ia akan meletup atau tidak jika disentuh.
"Yang pasti, lokasi ini pernah digunakan sebagai kem ketenteraan Jerman pada Perang Dunia Kedua," ujar pihak berkuasa negara itu.
Dalam pada itu, Unit Pemusnah Bom dikejarkan ke lokasi itu bagi memusnahkan bom peninggalan Perang Dunia Kedua itu.
Lokasi itu juga dikosongkan buat sementara waktu bagi pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat bom lain yang berada di situ.