Pengesan genetik kanser Nacots dinobat juara INNOVATHON
Gempak
September 3, 2023 15:04 MYT
September 3, 2023 15:04 MYT
PRODUK Nacotsl dinobatkan sebagai juara INNOVATHON pada minggu kelapan program yang disiarkan pada Sabtu.
Nacots dipersembahkan sebagai peranti perubatan pintar yang dapat mengesan hadirnya genetik kanser hanya dengan menerusi pemeriksaan pada darah.
Memerlukan dana kajian pasaran, produk ini telah pun memiliki dua paten dan enam hak cipta.
Penyelidikan Nacots juga menerima tajaan MOSTI sebanyak RM1.2 juta.
Merupakan peserta wildcard pada minggu pertama, Prof Madya Dr Zainiharyati Mohd Zain merupakan individu di sebalik terciptanya Nacots. Beliau merupakan pensyarah kimia di UITM dan telah berkhidmat selama 25 tahun.
Selain itu, beliau juga merupakan Timbalan Pengarah di Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UiTM serta bergelar Ketua Kumpulan Penyelidikan Electrochemical Material and Sensor (EMAS) Fakulti Sains Gunaan UiTM.
Nacots merupakan hasil kolaborasi pakar-pakar berkaitan (jurutera, pakar IT, doktor perubatan) dari Universiti Islam Antarabangsa dan Institut Perubatan Malaysia, KKM.
Pentas akhir INNOVATHON semalam menyaksikan para finalis sekali lagi membentangkan produk inovasi mereka dengan penambahbaikan yang lebih menarik.
Nacots membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 dan hadiah pelaburan sokongan pembangunan perniagaan bernilai sehingga RM1 juta.
Produk Putra UAV 2.0 yang dinobatkan sebagai naib juara membawa pulang wang tunai sebanyak RM80,000 dan Plastic To Fuel meraih tempat ketiga (RM50,000).
Sementara itu, The Other Self berada di tempat keempat dan membawa pulang wang tunai RM10,000 sementara MAIID5 di tempat kelima, membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.
INNOVATHON merupakan sebuah rancangan realiti TV inovasi pertama di Malaysia, inisiatif bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Astro.
Setiap minggu, lapan inovator akan berentap dari minggu pertama hingga minggu ketujuh. Setiap inovator terbaik mingguan akan terus melayakkan diri ke pentas akhir bagi merebut gelaran juara INNOVATHON yang pertama.
Idea inovatif dan kreatif para inovator diadili oleh panel lima juri profesional termasuk Menteri Ekonomi Rafizi Ramli; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang; selebriti dan usahawan terkenal Fazura, serta dua lagi pemain industri sebagai juri profesional jemputan.
Selain itu, 100 orang juri awam daripada pelbagai latar belakang yang berperanan sebagai pengguna akan menggalas tanggungjawab sebagai juri awam.
Program realiti TV yang dihoskan oleh pengacara ternama Awal Ashaari dan Datin Lisa Surihani ini bersiaran mulai 15 Julai 2023, jam 9 malam di saluran Astro RIA dan Astro GO. -Gempak