Pengasingan jantina di konsert, kenapa baru sekarang? - Jennifer Thompson
Syafique Shuib, Azyyati Ahmad
April 18, 2015 15:30 MYT
April 18, 2015 15:30 MYT
“Garis panduan ini tiada sebelum ini, mengapa kita mahu laksanakan sekarang,”
Persoalan itu diutarakan penganjur konsert tempatan, Jennifer Thompson sewaktu memberi reaksi kepada garis panduan baru yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi aktiviti dan industri hiburan.
Kata Jennifer, perkara tersebut perlukan perbincangan sebelum ia diputuskan untuk dilaksanakan.
“Perlu ada perbincangan terbuka mengenainya kerana kita berada dalam masyarakat majmuk dan terdiri dari pelbagai latarbelakang agama,” kata Jennifer ketika dihubungi Astro AWANI.
Garis panduan edisi kedua itu dikeluarkan Jakim awal minggu ini selepas diluluskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-107 pada Februari.
Antara lain, Jakim telah mengeluarkan peraturan mengasingkan antara penonton lelaki dan perempuan di konsert dan persembahan pentas.
Jakim turut tidak membenarkan muzik dan lirik yang mempunyai unsur "menyembah " dan dianggap suci bagi penganut agama selain Islam.
Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) ketika dihubungi berkata, satu perjumpaan akan diadakan bagi membincangkan mengenai garis panduan baru itu.
Menurut Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim, mesyuarat tersebut akan dianjurkan RIM bersama persatuan-persatuan muzik berkaitan.
“RIM akan mengadakan perjumpaan bersama organisasi hiburan yang berkaitan untuk melihat semula garis panduan yang dikeluarkan Jakim bagi memutuskan langkah yang perlu dilakukan seterusnya,” kata Norman ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Norman bagaimanapun menolak untuk memberikan pendapat peribadi mengenai perkara ini.
“Badan yang bertanggungjawab memberi kelulusan untuk konsert adalah Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
“Kami akan merujuk kepada PUSPAL bagi memastikan garis panduan yang dikeluarkan tidak bercanggah dengan yang sedia ada,” kata Norman.
Garis panduan tersebut boleh didapati dalam bentuk dokumen di laman web Jakim.
Sebelum ini pihak berkuasa agama mengkritik aksi gadis-gadis bertudung yang memeluk dan mencium penyanyi kumpulan B14A pada satu konsert mini di Live Centre di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, Januari lalu.
Perilaku mereka dikatakan keterlaluan dan bertentangan dengan ajaran Islam, serta menyinggung sensitiviti umat Islam di negara ini.