Pengarah filem Azhari Zain meninggal dunia, dikebumikan di Klang hari ini
Gempak
November 24, 2022 12:12 MYT
November 24, 2022 12:12 MYT
PENGARAH filem Prof Azhari Zain menghembuskan nafas terakhir pukul 12.05 tengah malam semalam selepas sembilan bulan terlantar akibat serangan angin ahmar.
Berita duka tersebut dikongsikan oleh setiausaha agung Seniman dalam sayu kenyataan media.
Arwah meninggal dunia di kediaman mereka di Sunway Alam Suria, Shah Alam, Selangor.
Urusan mandi dan solat jenazah disempurnakan di Masjid Ar-Raudhah, Seksyen U10, Shah Alam, sekitar jam 8 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Paip Meru, Klang, Selangor.
Sebelum ini, Azhari yang mengalami strok sejak Februari lalu dibenarkan pulang ke rumah selepas tiga bulan dirawat di hospital.
Keadaannya pada waktu itu dilaporkan kritikal akibat pendarahan di kepala apabila saluran darah dalam otak tersumbat hingga menjejaskan pergerakan mahu pun berkomunikasi.
Sebagai usaha pemulihan, keluarga pemilik nama sebenar Azhari Mohd Zain, 50, ini turut mendapatkan rawatan alternatif seperti akupuntur dan urutan.
Biarpun pergerakan terbatas dengan hanya menggunakan isyarat mata, dia tetap bersemangat mengikuti rutin hingga sudah boleh melakukan pergerakan ringkas.
Begitupun, difahamkan tahap kesihatannya semakin merosot sejak seminggu yang lalu.
Terdahulu Azhari yang memulakan kerjaya penerbitan pada 2004 diberi kepercayaan sebagai penulis dalam pelbagai projek filem seperti Tangkai Jering, Potret Mistik, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung, Otai dan Duyung.
Sepanjang tempoh itu, Allahyarham yang juga Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar di Fakulti Filem, Teater dan Animasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mengarahkan sekitar 20 filem.
Antara produksi yang mendapat sentuhannya adalah filem Santau, Zoo, Hantu Dalam Botol Kicap, Mantra, Flat 3A, Seram Sejuk, Salam Cinta, Minyak Dagu, Sabda Kekasih, Hantu Kelima dan Siku 12: Langkah Derhaka.
Azhari juga pernah aktif berlakon dengan terbabit dalam filem Nana Tanjung 2, Cicakman 2: Planet Hitam, Duyung, Sifu & Tonga, Magika serta Selamat Hari Tak Jadi.
Arwah meninggalkan isteri, Wahizatul Nureen serta tiga cahaya mata. -- Gempak